Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan). Datuk Sarimah (kiri).
Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (kanan). Datuk Sarimah (kiri).
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedia menjadi perantara untuk mempertemukan seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 82, dan penerbit yang didakwa mengambil pita asal empat filemnya dan mohon dipulangkan semula itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum dengan luahan hasrat didedahkan oleh Sarimah bagi menuntut dan mendapatkan semula pita asal filem-filem hak miliknya yang dihasilkan bersama Allahyarham suaminya, Yusof Majid.

"Saya bersama-sama pasukan di Finas akan mendapatkan butiran lanjut terlebih dulu mengenai kontrak perjanjian apa yang sudah ditandatangani antara Sarimah dengan penerbit itu sebelum tindakan susulan lain dibuat.

"Kami akan segera bertindak membantu Sarimah dengan mengadakan pertemuan dengannya termasuk berusaha mengenal pasti siapakah pemegang hak cipta empat filem itu sekarang. Ini kerana ia berkaitan hak harta intelek," katanya kepada Harian Metro.

Azmir berkata, Sarimah adalah tokoh filem legenda tanah air yang dikenali serta dihormati ramai, cuma isu membabitkan beliau ini juga sudah lama dan Finas perlu mendapatkan butiran lanjut terlebih dulu.

"Selepas semua maklumat penting diperoleh daripada kedua-dua pihak, Finas sedia menjadi perantara untuk membantu menyelesaikan isu hak cipta berkaitan empat filem ini dengan baik antara pihak yang terbabit.

"Apapun, setakat ini saya masih tidak tahu butiran lanjutnya dan selepas pertemuan diadakan bersama Sarimah dan penerbit itu nanti barulah tindakan lanjut boleh dibuat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Sarimah memohon seorang penerbit terkenal agar mengembalikan semula pita asal empat buah filem hasil karya titik peluhnya sebagai penggiat seni yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau menutup mata selamanya.

Sarimah berkata, pita asal empat filem disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak yang diambil penerbit terbabit sejak pada hari kematian suaminya.

Beliau mendakwa, sekiranya dulu filem-filem itu diambil daripadanya bagi membayar segala hutang kepada penerbit itu, takkan sehingga sekarang tempohnya sudah lebih 30 tahun masih belum habis dilunaskan lagi.

Menurut Sarimah, penerbit itu juga pernah berjanji untuk pulangkan semula filem-filemnya, namun tidak ditepati hingga ke hari ini serta terus menyepi diri dan beliau mengakui amat menyesalinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 4:13 PM