SHAMSUL Ghau Ghau terkilan tak dapat iringi jenazah sahabat baik.
SHAMSUL Ghau Ghau terkilan tak dapat iringi jenazah sahabat baik.
Najiy Jefri


PEMERGIAN anggota kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli baru-baru ini disifatkan sebagai satu kehilangan yang cukup besar dalam industri seni hiburan tanah air.

Bagi pengacara dan pelakon, Shamsul Ghau Ghau, 56, sejak mengenali Allahyarham pada tahun 1996 terlalu banyak kenangan manis yang dicipta bersamanya.

"Persahabatan kami tiada yang pahit, cuma sedih apabila arwah keluar Senario pada 1997. Kehilangannya memang terasa sebab dulu semua benda kami lakukan bersama.

"Umur kami tak jauh beza, jadi hubungan memang rapat. Dulu ketika zaman muda, setiap kali kami lepak arwah mesti nak balik awal hingga kami bergurau arwah takut isteri sebab paling awal pulang.

"Saya sebenarnya masih tak boleh 'move on', tapi terpaksa kerja. Saya masih lagi terkejut," katanya.

Tambah juara program realiti komedi terbitan TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1994 itu, dia berasa terkilan apabila tidak dapat hadir ke pengebumian sahabat seperjuangannya di Ipoh, Perak.

Kata Shamsul, disebabkan kekangan kerja di ibu kota dia terpaksa akur apabila tidak dapat mengiringi perjalanan terakhir jenazah sahabatnya itu.

"Sepanjang arwah di hospital saya mengikuti rapat perkembangannya dalam kumpulan WhatsApp kami iaitu Keluarga Senario.

JENAZAH Allahyarham Hamdan selamat dikebumikan di Ipoh, Perak.
JENAZAH Allahyarham Hamdan selamat dikebumikan di Ipoh, Perak.

"Cuma saya terkilan dan sedih sebab pada hari terbabit (pengebumian) saya terikat dengan latihan program Pentas Marhaban.

"Apabila dimaklumkan pemergiannya, saya minta rakan-rakan tolong maklumkan sebarang perkembangan dalam kumpulan WhatsApp.

"Ingatkan selepas kerja saya sempat pergi, tapi perjalanan mengambil masa dua jam, jadi saya rasa kalau pergi mungkin tak sempat," katanya.

Pada 5 Januari lalu, Hamdan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA sejak 31 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah.

Jenazah Allahyarham Hamdan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh, Perak.

Kira-kira 300 orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham atau nama sebenarnya, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54.

Antaranya, anggota kumpulan Senario yang hadir adalah Wahid, Azlee Jaafar, Lan Pet Pet, Apek dan Ilya Buang.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 6:20 AM