Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jenazah Hamdan Ramli atau lebih dikenali Hamdan Senario, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, kira-kira jam 11.50 malam ini.

Lebih 300 orang hadir ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Hamdan atau nama sebenarnya, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54.

Antara yang hadir adalah anggota kumpulan Senario iaitu Wahid, Azlee, Mazlan dan juga Yassin, Saiful Apek, dan Ilya.

Terdahulu, jenazah Hamdan disembahyangkan di Masjid Abu Ubaidah, dekat Taman Perpaduan, Tambun, di sini, berdekatan kampung halamannya.

Van membawa jenazah Hamdan dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor tiba di perkarangan masjid kira-kira jam 10.18 malam tadi.

Allahyarham disolatkan kira-kira 500 jemaah pada kira-kira jam 10.45 malam di imamkan oleh Ketua Imam Masjid Abu Ubaidah, Mohamad Saad.

Lebih 600 orang terdiri dari waris terdekat Allahyarham, sahabat handai, dan kenalan Allahyarham hadir memberi penghormatan terakhir kepada Hamdan di masjid.

Jenazah dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengkebumian dengan talqin ke atas mayat turut dibacakan oleh Mohamad.

Wahid Senario, atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohamad antara yang dilihat turun ke liang lahad bagi meletakkan jenazah Hamdan di liang berkenaan selain anak sulung lelaki Hamdan, Muhamad Zeyreen Misha, 31.

Mazlan Ahmad atau lebih dikenali Lan Pet-Pet dilihat antara yang menyempurnakan urusan pengkebumian dengan turut menimbus tanah selepas jenazah diletakkan dalam liang.

Mazlan dilihat berulang kali bertanyakan kepada hadirin di tanah perkuburan soalan berbunyi "Arwah baik tak?" sebelum disusuli jawapan "baik" oleh kebanyakan hadirin di situ.

Suasana sebak dan pilu menyelubungi tanah perkuburan khususnya apabila salah seorang anak Allahyarham Hamdan seakan berbicara kepada Hamdan yang sudah selesai dikebumikan iaitu ketika menyiram serta menabur bunga di atas kubur Allahyarham.

Antara yang diungkapkan anak Allahyarham ketika itu adalah "sayang babah (ayah), syurga tempat babah."

Hamdan disahkan meninggal dunia di HSA, Johor Bahru kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi selepas ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA sejak Ahad lepas kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 12:23 AM
Jenazah Allahyarham Hamdan Senario selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Jenazah Allahyarham Hamdan Senario selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tambun, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri