BELANTARA hasil lagu, lirik serta terbitkan album sendiri. - FOTO Eizairi Shamsudin
BELANTARA hasil lagu, lirik serta terbitkan album sendiri. - FOTO Eizairi Shamsudin
Ramlah Zainal


Kejayaan 'showcase' pada 2020 mendorong band rock era 1980-an, Belantara untuk kembali dengan 'showcase' terbaharu bagi memenuhi permintaan peminat dan penggemar muzik mereka.

Belantara Showcase Volume 2.0 ini bakal berlangsung di Stage One, PJ Performing Arts Centre, Petaling Jaya jam 8.30 malam pada 7 Disember ini.

Sama seperti 'showcase' pertama, Belantara Showcase 2.0 juga dianjurkan peminat yang turut membiayai konsert ini.

Penyanyinya, Mohamed Zaid Yusoff berkata, 'showcase' itu dianjurkan untuk menghargai peminat setia band rock progresif itu.

"Band ini hanya berkongsi muzik dengan peminat yang selama ini mentafsir lagu kami berdasarkan pengalaman dan membawa makna istimewa kepada mereka.

"Showcase ini lanjutan daripada visi kami untuk memberikan pengalaman yang tiada tandingan kepada penonton dan merapatkan semula hubungan peminat dengan Belantara," katanya.

Selain Zaid, Belantara yang ditubuhkan pada 1986 ini turut dianggotai Shukri Salleh (bass) dan Aziz Ismail (gitar).

Ditanya mengenai persiapan konsert, Zaid berkata, mereka giat berlatih setiap malam termasuk menjaga stamina untuk memberikan yang terbaik pada 'showcase' berkenaan.

"Kami akan menyampaikan kira-kira 18 lagu dari tiga album Belantara sebelum ini khusus buat peminat setia.

"Semua lagu adalah ciptaan kami sendiri dan 'showcase' ini juga mengimbau nostalgia bersama peminat setia sejak dulu," katanya.

Sementara itu, Shukri berkata, dengan menganjurkannya sendiri, Belantara berharap dapat memberi inspirasi kepada band lain untuk bekerjasama menganjurkan konsert dengan peminat mereka.

BELANTARA mahu imbau nostalgia bersama peminat. - FOTO Eizairi Shamsudin
BELANTARA mahu imbau nostalgia bersama peminat. - FOTO Eizairi Shamsudin

"Bersandarkan kejayaan 'showcase' Belantara sebelum ini, kami berasakan mempunyai model untuk dicontohi band lain untuk menganjurkan konsert impian menjadi realiti tanpa penajaan yang besar.

"Kami berbesar hati dengan sokongan pada 'showcase' malam muzik rock dan 'reunion' ini serta tidak sabar bertemu peminat secara bersemuka," katanya.

Dalam pada itu, ditanya pemilihan lokasi PJ Performing Arts Centre, pengurus dan penganjurnya, Amir berkata, lokasi itu selesa untuk memuatkan kapasiti 450 penonton.

"Kami mahu peminat tegar Belantara menonton 'showcase' di tempat yang selesa dan boleh makan dan minum serta menikmati muzik yang bagus.

"Setakat ini, jualan tiket juga mendapat sambutan daripada peminat. Orang ramai juga masih boleh mendapatkan tiket untuk menonton konsert ini menerusi Facebook rasmi Belantara," katanya.

Pada 2020, persembahan Belantara di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) selama dua malam berjaya menarik lebih 400 peminat mereka.

Mengimbas latarnya, Belantara ditubuhkan Zaid, Aziz dan Shukri ketika menuntut di universiti di Amerika Syarikat.

Tidak dapat dinafikan, Belantara mempunyai pengaruh besar terhadap penuntut pusat pengajian tinggi dan sekolah berasrama penuh satu ketika dulu.

Selain dianggap sebagai band yang menampilkan muzik rock progresif, muzik mereka juga dipengaruhi daripada band luar negara seperti Rush, Led Zeppelin, Queensryche dan The Police.

Belantara memiliki tiga album bersama syarikat rakaman Polygram iaitu Belantara pada 1987, Srikandi Di Sisi (1988) dan Infiniti (1990).

Antara lagu popular mereka ialah Srikandi Di Sisi, Dewi, Panglima Angkasa, Airmata, Lautan Cahaya, Sutra, Menari Di Dalam Hujan dan Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 6:49 AM