PERSEMBAHAN sempena 25 Years Lah Ahmad Live in Concert turut beri penghormatan kepada rakan artis yang sudah tiada.
PERSEMBAHAN sempena 25 Years Lah Ahmad Live in Concert turut beri penghormatan kepada rakan artis yang sudah tiada.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Lah Ahmad bukan nama yang asing. Sejak kemunculannya sebagai anggota kumpulan VE, sehingga dia mencipta satu jenama baharu sebagai penyanyi solo, Lah berjaya mencuri hati ramai peminat daripada pelbagai generasi.

Menempa angka 25 tahun perjalanan kariernya dalam industri, maka, lahir acara 25 Years Lah Ahmad Live in Concert yang berlangsung dua hari pada 28 dan 29 Januari lalu di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC).

Di acara konsert itu, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad berkongsi mengenai perjalanannya menuju acara yang menjadi penanda aras untuk usia kerjayanya itu.

"Asalnya saya dan pasukan saya merancang mengadakan konsert ini sejak setahun lalu. Namun, pada masa sama kami rancang keluarkan

album Jatuh.

"Jadi, kami fikir, lebih baik kami adakan sesuatu lebih istimewa untuk meraikan usia 25 tahun karier saya dalam industri," katanya.

Membuka pentas dengan lagu Selamat Datang Cinta, Lah mengakui bahawa perjalanan karier seninya bukan satu proses perjalanan yang mudah.

"Ada liku yang terpaksa saya lalui untuk sampai ke sini. Lagu-lagu saya kadang-kadang biasa sahaja, tapi ada yang melekat di hati pendengar dan itu membuatkan saya sendiri rasa tersentuh," katanya.

Lah kemudian meneruskan persembahan dengan lagu popularnya seperti Ulangtahun, Ini Ceritaku, Selalu Denganku, Bila Hati Rindu, Sejarah dan seterusnya, Jatuh.

LAH imbau nostalgia pembabitan dalam dunia seni
LAH imbau nostalgia pembabitan dalam dunia seni

Membawa kejutan kepada peminat, pentas acara 25 Years Lah Ahmad Live in Concert kemudian diambil alih oleh kumpulan nasyid popular, Inteam yang muncul mengiringi persembahan Lah.

Berkongsi kenangannya bersama Inteam, Lah turut bercerita bagaimana dia pernah melalui fasa terendah dalam hidupnya dan pernah memutuskan untuk menarik diri daripada industri.

"Inteam menjadi batu lonjakan saya untuk bangkit semula selepas melalui satu fasa kejatuhan. Saya dah pernah sampai di satu tahap, di mana saya rasa ingin berputus asa. Saya dah tak mahu menyanyi lagi.

"Namun, saya ada hasilkan lagu ketuhanan dan berikan kepada mereka. Mereka kemudian menyarankan supaya saya menyanyikan sendiri lagu itu dan hasilkan album.

"Sejujurnya ada saat di mana saya merajuk dengan industri. Tapi, berkat saya berjumpa orang-orang baik seperti mereka, semangat saya hadir kembali dan saya teruskan karier seni saya," katanya.

Lebih manis, Lah buat pertama kalinya mempersembahkan lagu Kasih Kekasih bersama kumpulan nasyid itu.

Selain segmen lagu ketuhanan, Lah turut memberi penghormatan kepada dua sahabatnya, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin dan Allahyarhamah Adibah Noor dengan mempersembahkan lagu saduran Di Pintu Syurga.

Segmen terakhir menyaksikan Lah mempersembahkan lagu hit lain antaranya Adinda dan Kenapa di samping lagu popularnya ketika bersama VE seperti Kerna Sayang dan Ayu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:44 AM