HAEL tidak sabar menjayakan konsert solo pertamanya pada 4 Disember depan.
HAEL tidak sabar menjayakan konsert solo pertamanya pada 4 Disember depan.
Sudirman Mohd Tahir


MENJADI impian setiap penyanyi untuk mengadakan persembahan atau konsert sebagai tanda penghargaan buat peminat yang menyokong kerjaya mereka selain melengkapkan profil seni.

Tidak ketinggalan penyanyi terkenal, Hael Husaini yang berpeluang menjayakan persembahan An Evening With Hael Husaini bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya, pada 30 Jun lalu.

Pada persembahan itu, penonton disajikan dengan persembahan istimewa daripada Hael selama dua jam tanpa henti dengan deretan lagu popular nyanyian dan ciptaannya.

Gamat malam itu apabila peminat turut menyanyi tatkala Hael mendendangkan lagu ciptaannya seperti Temberang yang dipopularkan Ayda Jebat, Jutaan Purnama (Datin Alyah), Peluang Kedua (Nabila Razali) dan Shh.. (Elizabeth Tan).

Lagu lain yang turut dinyanyikan Hael adalah Hari Ini, Hajat, Kelentang Kelentung, Sama Seperti Dulu, Bintang sebelum diakhiri dengan Jampi.

Hael, 35, atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi berkata, perancangan mengadakan An Evening With Hael Husaini bermula sekitar Mac lalu serentak dengan proses penggambaran muzik video (MV) lagu Sama Seperti Dulu.

"Alhamdulillah, impian perdana saya untuk menghibur dan meraikan peminat kesayangan akhirnya tercapai juga selepas hampir tiga tahun menunggu dek kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

"Sebenarnya, An Evening With Hael Husaini bukan sebuah konsert mahupun konsert mini, tetapi lebih kepada sebuah 'mini showcase' berskala kecil kerana saya mahukan malam istimewa ini lebih peribadi dengan 'mood' yang santai supaya saya dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama peminat.

"Saya memilih masa ini kerana kesesuaian dengan situasi terkini pandemik global yang sudah memasuki fasa endemik yang membolehkan penganjuran acara hiburan secara fizikal," katanya.

Biarpun berjaya merealisasikan impiannya itu, jauh di sudut hatinya dia belum puas. Lantaran itu Hael berkata, dia bakal mengadakan konsert solo pertamanya, Hael Husaini Live In Kuala Lumpur pada 4 Disember depan.

HAEL persembah deretan lagu popular nyanyian serta ciptaan sendiri dalam An Evening With Hael Husaini.
HAEL persembah deretan lagu popular nyanyian serta ciptaan sendiri dalam An Evening With Hael Husaini.

"Alhamdulillah perasaan yang sukar digambarkan. Semestinya belum puas sebab apa yang saya persembahkan malam itu hanya 10 peratus dari apa yang ingin saya tonjolkan. Bagaimanapun, saya seronok kerana ia berjalan lancar.

"Jadual kerja saya agak padat, namun dengan perancangan daripada syarikat rakaman membantu menyenangkan saya mengatur masa untuk mengadakan beberapa sesi latihan sebagai persiapan menuju malam persembahan.

"Persembahan ini bertujuan untuk mengajak peminat dan penyokong saya untuk ke konsert saya nanti. Saya tidak dapat mendedahkan apa-apa butiran lanjut berkenaan konsert kerana semuanya masih dalam perbincangan bersama pengurusan. Kami hanya dapat umumkan tarikh dan lokasi sahaja buat masa ini," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai persembahan dijayakan itu, menurut Hael dia hanya menjalani satu sesi latihan bersama band iaitu tiga hari sebelum 'showcase' berlangsung.

"Selebihnya dilakukan pada hari yang sama dengan 'showcase'. Saya agak sibuk, jadi tidak banyak masa yang dapat diperuntukan untuk latihan. Berkenaan dengan lagu pula, saya mengadakan perbincangan bersama pasukan saya terlebih dahulu sebelum memberikan senarai lagu kepada pengarah muzik, Szewan.

"Jangka masa persembahan agak singkat, jadi kena buat pilihan yang tepat. Ahli muzik yang mengiringi persembahan pula adalah pilihan SzeWan sendiri. Saya percaya dengan magik dari beliau," katanya.

HAEL berjaya menghiburkan penonton  pada An Evening With Hael Husaini.
HAEL berjaya menghiburkan penonton pada An Evening With Hael Husaini.

Perkara yang turut menarik perhatian sepanjang persembahan berlangsung adalah banyak peningkatan ditunjukkan Hael terutama vokal dan interaksi bersama peminat.

"Saya tidak pernah berhenti belajar untuk memperbaiki diri. Saya akan sentiasa mencari ruang untuk berlatih dari segi vokal dan persembahan. Lagipun 'showcase' ini adalah sebagai pengenalan untuk konsert solo pertama saya nanti. Oleh itu, Saya mengharapkan respons yang baik daripada tetamu yang datang pada malam itu.

"Bagi penjagaan vokal pula, tidak pernah saya kongsikan secara umum bahawa saya menjalani latihan secara profesional dengan Datuk Syafinaz Selamat sejak 2019 ketika zaman lagu Jampi lagi," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai harga tiket konsert yang bakal diadakan, Hael menjanjikan ia harga mampu milik.

"Saya akan pastikan ia mampu untuk dibeli. Sudah semestinya akan ada beberapa kelas harga mengikut jenis tiket. Kita jumpa di Konsert Hael Husaini Live In KL pada 4 Disember nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:30 AM