IMBAS perjalanan muzik mereka sejak lebih dua dekad lalu dalam konsert pada Februari depan.
IMBAS perjalanan muzik mereka sejak lebih dua dekad lalu dalam konsert pada Februari depan.
Ramlah Zainal


PENGANJURAN konsert Pretty Ugly bukan sekadar meraikan sambutan ulang tahun ke-21 kumpulan rock psychedelic itu, malah ia adalah konsert istimewa buat peminat setia, sekali gus mengimbas perjalanan muzik mereka sejak lebih dua dekad lalu.

Konsert anjuran CD Bagasi Music itu bakal berlangsung pada jam 8 malam di Paddock, Kelana Jaya pada 25 Februari depan.

Penyanyi, Neves, 49, berkata, selepas sekian lama menanti sudah sampai masanya Pretty Ugly membuat konsert solo mereka.

"Idea untuk buat konsert solo ini tercetus dan membakar semangat kami selepas menyaksikan banyak band dari dalam dan luar negara beraksi di pentas persembahan ketika ini. Justeru, kini sudah sampai masanya giliran kami pula buat persembahan dalam satu konsert.

"Kami tidak dapat penajaan daripada syarikat korporat sebaliknya kami buat konsert ini dengan duit sendiri dan mendapat bantuan daripada kawan rapat. Kami berasa sebak juga kerana ramai kawan rapat yang nak tolong merealisasikan konsert ini," katanya.

Selain Neves, Pretty Ugly turut dianggotai Jay (gitar) dan Juad (bass).

Mengulas mengenai konsert, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin berkata, sebanyak 21 lagu akan disampaikan pada konsert itu.

"Kami sudah memilih rangkaian lagu sesuai yang digubah semula untuk konsert ini. Antaranya lagu popular kami Diari Seorang Lelaki dan Jika Diberikanku Satu Peluang.

PRETTY Ugly masih aktif berkarya dan wujud dalam industri muzik tanah air.
PRETTY Ugly masih aktif berkarya dan wujud dalam industri muzik tanah air.

"Pastinya rangkaian lagu yang akan disampaikan nanti bakal mengembalikan nostalgia peminat Pretty Ugly. Pada masa sama, ramai peminat yang mahu kami menyampaikan lagu yang tidak dimainkan di stesen radio. Kami juga akan menyampaikan lagu tribute khas untuk mengenang pemergian penyanyi Siti Sarah Raisuddin berjudul Jangan Kau Mimpi dengan versi Pretty Ugly.

"Lagu Jangan Kau Mimpi ini ciptaan saya sepenuhnya yang turut dimuatkan dalam album Siti Sarah berjudul Mimpi Pun Sama," katanya.

Ditanya dari segi stamina, kata Neves, mereka kini mula rapi membuat persediaan termasuk latihan untuk konsert terbabit.

"Kalau orang nak cakap kami sudah berusia, Datuk Awie Wings dan Datuk Amy Search jauh lebih berusia daripada kami. Jika saya tidak boleh buat persembahan untuk konsert ini, gagallah saya dalam industri muzik.

"Pada masa sama, saya memang aktif bersukan, 'hiking' dan sebagainya untuk menjaga stamina terutama bila ada konsert atau persembahan," katanya.

Neves berkata, konsert itu juga sebahagian dari proses penjenamaan semula Pretty Ugly, sekali gus memberitahu mereka masih aktif berkarya dan wujud dalam industri muzik tanah air.

"Konsert ini juga permulaan untuk kami kembali aktif berkarya. Kami berharap peminat tidak lepaskan peluang menonton konsert ini kerana harga tiket juga harga bajet dan mampu dibeli golongan bawahan.

KONSERT solo Pretty Ugly turut tampil dua band baharu dalam industri muzik iaitu Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik.
KONSERT solo Pretty Ugly turut tampil dua band baharu dalam industri muzik iaitu Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik.

"Konsert ini juga turut menampilkan dua band baharu dalam industri muzik iaitu Late Night Frequency dan Banyakbunyirepublik," katanya.

Menurut Neves, penampilan dua band baharu itu juga diharap dapat menarik lebih ramai golongan muda menonton konsert solo itu.

"Kami juga menyukai konsep muzik yang dibawa band Late Night Frequency dan Banykbunyirepublik dan mahu memberi peluang kepada mereka buat persembahan dalam konsert.

"Band baharu seperti mereka kurang mendapat peluang buat persembahan di konsert dan perjuangan kami ialah mahu membantu mereka mendapat tempat dalam dunia muzik 'mainstream'. Penampilan dua band ini juga sebagai 'warm up' untuk membuka tirai persembahan kami beraksi pada malam konsert itu nanti," katanya,

Maklumat mengenai tiket boleh diperoleh di prettyugly.ubertickets.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 6:20 AM