JAMAL masih laris jayakan persembahan dan konsert. FOTO Asyraf Hamzah
JAMAL masih laris jayakan persembahan dan konsert. FOTO Asyraf Hamzah
Ramlah Zainal


Pada usia 64 tahun, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah masih laris dan menjadi rebutan penganjur persembahan mahupun untuk mengadakan konsert ketika ini.

Malah, bintang legenda yang juga Juara Bintang RTM 1979 ini mengakui tiada istilah bersara dalam bidang nyanyian yang sudah diceburi sejak empat dekad lalu.

"Saya akan terus menyanyi selagi ada permintaan peminat dan dikurniakan kesihatan yang baik.

"Nyanyian adalah punca rezeki dan saya tidak boleh menolaknya. Selagi masih laku, saya teruskan dan mungkin saya tidak akan bersara dari bidang nyanyian hingga ke akhir hayat," katanya kepada Harian Metro.

Jamal ditemui pada sidang media Akustika Kekasih Awal dan Akhir yang berlangsung di Time Less Studio, di Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.

Menjadikan Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebagai idola, Jamal berkata, arwah menyanyi sehingga ke akhir hayatnya.

"Saya masih ingat, seminggu sebelum Ahmad Jais meninggal dunia, saya sempat membuat persembahan bersama arwah.

"Jadi, apabila dapat berita mengenai pemergian arwah, saya berasa terkejut kerana baru bertemu dengannya.

"Pagi itu, saya terus bergegas ke tanah perkuburan untuk menziarah arwah," katanya ketika mengimbau kenangan bersama Allahyarham.

Berkongsi rahsia mengekalkan suara dan stamina pada usia emas, Jamal berkata, selain aspek pemakanan dan bersenam, tidur yang cukup menjadi kunci utamanya dalam menjaga kesihatan.

Katanya, dia sangat menitik beratkan penjagaan kesihatan kerana faktor ahli keluarga yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

"Sebagai selebriti, saya memang pastikan mendapat rehat yang cukup dengan tidur antara enam hingga tujuh jam sehari.

"Pada masa sama, saya juga kerap bersenam di gimnasium dan berjoging untuk menjaga stamina terutama jika terbabit dengan persembahan," katanya.

Bagaimanapun, kata Jamal, dia dapat merasakan perbezaan tenaganya yang tidak lagi sekuat dulu seiring dengan peningkatan usianya itu.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana masih mampu menyanyikan 20 lagu dalam satu persembahan atau konsert.

"Sebelum persembahan atau konsert, saya pastikan ada sesi latihan kerana ia penting untuk ketahanan ketika berada di pentas.

"Saya juga tiada masalah untuk menyanyi dua malam dengan menyampaikan sebanyak 20 lagu untuk setiap persembahan," katanya.

Menurut Jamal lagi, dia juga tidak 'all out' dan hanya akan beraksi sepenuh hati pada persembahan atau konsert yang sebenar.

"Apa yang penting, saya juga bukan sekadar menyanyi tetapi masukkan jiwa dalam setiap lagu dinyanyikan untuk menghidupkan lagi persembahan untuk kepuasan diri dan penonton," katanya.

KUNCI kejayaan Jamal Abdillahkekalkan suara, stamina pada usia mencecah 64 tahun. FOTO Asyraf Hamzah
KUNCI kejayaan Jamal Abdillahkekalkan suara, stamina pada usia mencecah 64 tahun. FOTO Asyraf Hamzah

Konsert Akustika Kekasih Awal dan Akhir untuk tarik peminat di Johor dan Singapura

Mengulas mengenai Konsert Akustika Kekasih Awal dan Akhir pula, kata Jamal, ia bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Loon Sing, Johor Bharu 20 Oktober depan.

Konsert yang juga persembahan makan malam ini anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ).

Menurut Jamal, pihaknya yang memberi cadangan kepada penganjur agar acara berkenaan dipentaskan dalam konsep persembahan akustika kerana mahu menampilkan kelainan.

"Saya juga pernah buat konsert Akustika di Istana Budaya bersama Komposer terkenal S Atan sebelum ini.

"Saya akui konsert akustika lebih mencabar kerana menampilkan vokal sepenuhnya dan dibantu pemuzik profesional seperti pemain gitar akustik, cello, biola dan violin.

"Saya akan menyampaikan rangkaian 15 lagu termasuk duet bersama artis undangan dengan konsep lebih santai sambil berinteraksi dengan penonton," katanya.

Persembahan Jamal dan artis undangan akan diiringi Belle Fatah Hassan sebagai pemain piano.

Mengulas konsert akustika itu lagi, kata Jamal, dia berharap konsert berkenaan akan dapat menarik peminat khususnya di Johor dan Singapura.

"Saya harap peminat di Johor dan Singapura tidak lepaskan peluang untuk menonton konsert akustika ini nanti," katanya.

Sementara itu, selain Jamal, konsert akustika itu akan menampilkan dua artis baru sebagai undangan iaitu Syahd Hasmie dan P Radhi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:07 AM