Jamal Abdillah.
Jamal Abdillah.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan Konsert Perjalananku selama dua malam di Esplanade pada 2022, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah kembali menerusi konsert skala besarnya di The Star Theatre, Singapura pada 11 Mei depan.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, berkata, Konsert berjudul Seniman Berjasa itu juga hanya berlangsung selama satu malam sahaja.

"Konsert ini hanya satu malam sahaja dan setakat ini tiket sudah terjual mencecah 50 peratus.

" Justeru, saya berharap peminat di Johor dan Singapura tidak lepaskan peluang untuk menonton konsert kali keempat yang dianjurkan di sana,"katanya kepada Harian Metro.

Jamal yang bakal meraikan ulang tahun ke-65 pada 7 Mei nanti berkata, konsert itu juga

 istimewa kerana beliau bakal meraikan sambutan ulang tahunnya bersama peminat pada konsert berkenaan.

"Secara kebetulan, hari lahir saya jatuh pada tanggal 7 Mei nanti dan kita raikan sekali pada konsert berkenaan.

"Saya juga tidak sabar untuk bertemu peminat di Singapura nanti," katanya.

Mengenai konsert itu, kata Jamal, dia juga akan bekerjasama dengan komposer terkenal, Datuk S Atan selaku pengarah muzik konsert berkenaan.

"Saya memilih S Atan kerana selesa bekerja dengannya sejak dulu. Beliau juga sudah faham dengan perangai saya dan apa yang dimahukan dalam persembahan.

"Saya akan menyampaikan rangkaian 18 lagu hits seperti Azura, Kekasih Awal dan Akhir, Seroja serta Mati Hidup Semula.

"Lagu Mati Hidup Semula itu ciptaan S Atan dan liriknya ditulis saya sendiri serta tidak pernah dinyanyikan di Singapura sebelum ini," katanya.

Ditanya pemilihan artis undangan pula, kata Jamal, penyanyi Datuk Francissca Peter (Fran) akan ditampilkan untuk menyemarakkan lagi konsert berkenaan.

"Saya setuju dengan pemilihan Fran kerana ada permintaan dari peminat di sana.

"Pada masa sama, kami juga pernah berduet menerusi lagu popular Kehebatan Cinta sebelum ini," katanya.

Konsert mega yang dijangka menarik seramai 5,000 penonton itu anjuran bersama penganjur Jive Events dan syarikat logistik Pos TKI di Singapura.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 5:46 PM