JAMAL tonjol kelainan setiap kali diundang hibur tetamu sempena Minggu Setiausaha.
JAMAL tonjol kelainan setiap kali diundang hibur tetamu sempena Minggu Setiausaha.
Ramlah Zainal


Nama raja pop, Datuk Jamal Abdillah cukup sinonim dengan persembahan majlis makan malam anjuran pihak korporat mahupun persendirian sejak dulu.

Tidak hairanlah, undangan persembahan tidak pernah putus buat penghibur legenda berusia 57 tahun ini termasuk sambutan Minggu Setiausaha yang diraikan pada April setiap tahun.

Pada tahun ini, Jamal juga diundang untuk menghiburkan bos dan setiausaha mereka dalam persembahan istimewa sempena Minggu Setiausaha yang berlangsung di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 11 April lalu.

Bagai dijangka, persembahan Jamal tidak pernah menghampakan peminat setianya sejak dulu. Rata-rata tetamu yang hadir terhibur dengan persembahan istimewanya itu.

Secara peribadi, Jamal juga puas dengan persembahannya yang khusus untuk menghiburkan golongan bos dan setiausaha mereka pada petang itu.

“Setiap kali buat persembahan sempena Minggu Setiausaha, saya pastikan ada kelainan supaya lebih menarik dan penonton tidak bosan dengan persembahan sama saja.

“Segmen persembahan kali ini lebih santai. Saya juga menyampaikan rangkaian lagu hit secara medley yang digubah semula supaya menjadi lebih kontemporari sesuai dengan trend muzik sekarang.

“Saya percaya peminat jarang menyaksikan saya menyampaikan lagu Inggeris dan lagu Honesty dipilih sesuai untuk persembahan menghiburkan golongan korporat. Selain itu, saya juga tampilkan persembahan menarik daripada pemain saksofon wanita,”katanya.

Barisan lagu yang disampaikan secara medley ialah Kau Lupa Janji, Aku Penghibur, Azura, Gadis Melayu, Medley Di Mana Bayanganmu, Sepi Seorang Perindu, Hilanglah Rinduku, Keluhan Perantau, Antara Yakin dan Curiga.

Tidak ketinggalan, lagu Kekasih Awal dan Akhir, Jeritan Batinku dan Seniman Menangis.

Ia disemarakkan dengan penampilan Dee selaku pengacara majlis.

Rancang bingkisan album baru

Pasti ramai peminat menantikan bingkisan album baru Jamal selepas sekian lama berkecimpung dalam bidang muzik tanah air.

Menurut Jamal, album baru itu memuatkan rangkaian lagu lama yang digubah semula untuk menjadikannya lebih menarik.

“Saya mempunyai koleksi 180 lagu yang bagus, tetapi tidak popular kerana jarang dipersembahkan di pentas.

Antaranya lagu Bicara Cinta. Oleh itu, saya berharap lagu lama ini akan diminati ramai selepas digubah semula nanti,”katanya.

Selain album baru, Jamal juga merancang mengadakan konsert selepas kejayaan konsertnya di Istana Budaya, Kuala Lumpur bersama Ameng dan Zamani tahun lalu.

“Saya masih mencari konsep dan idea baru yang mahu diketengahkan dalam konsert.

“Saya juga akan bekerjasama dengan artis lain dalam konsert itu nanti,” katanya.

Tidak ketinggalan, kata Jamal, dia juga dilamar untuk menjayakan program realiti TV bersama anaknya Osama Yamani tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 6:12 AM