JAMAL kekalkan aura penghibur legenda.
JAMAL kekalkan aura penghibur legenda.
Ramlah Zainal

SIAPA mampu menidakkan pesona dan kredibiliti yang dimiliki penghibur legenda, Datuk Jamal Abdillah.

Malah, nama Jamal adalah satu jenama yang kuat dalam industri muzik tempatan dan figura yang sinarnya tidak pernah padam sejak empat dekad lalu.

Justeru, tidak hairan penghibur yang mendapat jolokan Raja Pop ini terus bertahan serta masih menjadi pilihan penganjur konsert mahupun persembahan sampai kini.

Terbaharu, konsert Jamal Abdillah Live In Concert anjuran Shiraz Projects yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berjaya menarik 1,800 penonton.

Menurut Jamal, dia gembira kerana konsert skala besar itu ditonton peminatnya dari pelbagai usia termasuk dari Sabah, Sarawak dan Singapura.

"Saya mengadakan sesi bertemu peminat dan pelbagai pengalaman menarik dikongsi ketika bertemu mereka," katanya.

Antara yang mencuri perhatian penonton pada malam itu ialah kehadiran peminat Jamal yang dipanggil 'opah', Rohani Abdullah, 69, dari Terengganu.

Jamal juga sangat menghargai sokongan peminat setianya itu dan turut menghadiahkan tiket VIP percuma kepadanya.

Mengenai persembahan Jamal pada malam itu, terbukti tiada istilah bersara buat penghibur berusia 64 tahun ini. Jamal tampil dengan persembahan mantap dan bertenaga dengan rangkaian 21 lagu popular dan jarang dipersembahkan sebelum ini.

Malah, kelunakan vokalnya juga berjaya memukau penonton yang nyata tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing dalam konsert berdurasi kira-kira tiga jam itu.

Persembahan Jamal terbahagi menerusi beberapa segmen menarik iaitu ballad, medley, duet, santai dan trio.

Jamal membuka tirai persembahan dengan segmen ballad pada jam 8.45 malam menerusi dua lagu iaitu Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan dan Kau Lupa Janji.

Menerusi segmen secara medley pula, lagu Kabus Di Wajahmu, Senandung Kasih, Kerlingan, Berdendang Dalam Tangisan dan Cenderawasih.

Menerusi segmen santai, Jamal menyampaikan lagu hit Azura yang dipetik dari filem lakonannya bersama Ogy Ahmad Daud berjudul Azura, Takdir Penentu Segala dan Seroja.

Bagi menyerikan konsertnya, Jamal turut menampilkan penyanyi popular, Wany Hasrita menerusi lagu duet Kehebatan Cinta dan Aku Maafkan Kamu dengan penampilan rapper, Faroq.

Wany yang tampil anggun dengan busana berwarna hijau turut menyampaikan lagu secara solo berjudul Canggung.

SELAMBA ‘tapau’ tiga jam persembahan.
SELAMBA ‘tapau’ tiga jam persembahan.

Tampil dua anak lengkapkan konsert

Dalam konsert kali ini, Jamal juga mengetengahkan bakat besar dua anaknya, Osama Yamani Abdillah, 22, dan Zaki Yamani, 17, yang turut mengikut jejaknya dalam bidang seni.

Walaupun sedang menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Zaki tetap menjayakan persembahan trio bersama bapa dan abangnya pada malam itu.

Menerusi segmen menarik trio itu, peminat juga berpeluang menonton gandingan Jamal bersama dua anak lelakinya itu berkongsi pentas menerusi lagu Gadis Melayu dan Aku Penghibur.

Jamal juga meneruskan persembahan secara duet dengan Osama menerusi dua lagu iaitu Perjalananku dan Terharu.

Osama juga menghangatkan lagi persembahan secara solo menerusi dua lagu iaitu Gerhana dan Bunga Seroja sambil memetik gitar.

Menerusi segmen terakhir, Jamal terus menghiburkan penonton menerusi lagu medley ghazal iaitu Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah dan Samrah Mentari.

Walaupun jam sudah menunjukkan tengah malam, Jamal terus menghangatkan malam dengan lagu hitnya iaitu Di Sudut Kamar Hatiku, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu dan Seniman Menangis.

Sementara itu, konsert Jamal juga menampilkan 15 barisan pemuzik berkaliber yang mengiringi persembahannya pada malam itu diketuai pengarah muzik, Shahwal Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 6:00 AM