Siti Fairuz bersama suami, Syed Mohamed Syed Ismail.
Siti Fairuz bersama suami, Syed Mohamed Syed Ismail.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Berkahwin bukan kerana nafsu sebaliknya sebagai peneman hidup, aktiviti seni dan sebagainya.

Ini penjelasan penyanyi popular era 1980-an, Datuk Siti Fairuz, 59, mengenai pernikahannya dengan Syed Mohamed Syed Ismail, 72, semalam.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu ini berkata, sebagai wanita, kehadiran lelaki bernama suami amat diperlukan untuknya bergerak ke sana sini.

Menurutnya, perkenalan lebih kurang enam bulan di rumah kakak angkat menjadi titik tolak kepada perkahwinan mereka.

"Bermula dari situlah kami rapat. Suami sebenarnya peminat fanatik saya. Jadi saya melayannya sebagai peminat. Dari situlah kami selalu berbual dan saling mengenali hati budi.

"Antara kami saling ada persamaan dan kami juga satu keturunan iaitu Yaman. Dia banyak memenuhi kriteria seorang imam dan suami. Kalau kata 100 mungkin 90 ada pada dia. Itu yang buat saya terbuka hati untuk berumah tangga lagi.

"Kebetulan namanya pun hampir sama dengan nama bapa saya, Sheikh Mohamed. Suami berasal dari Johor tapi menetap di Kuala Lumpur. Dia pesara tapi sekarang menjalankan perniagaan. Dulu peminat tapi lama-kelamaan ada perasaan. Orangnya sangat 'gentleman' memulakan semuanya," katanya kepada Harian Metro.

Siti Fairuz berkata, mereka memilih berkahwin dalam bulan Ramadan bagi mengambil keberkatan yang ada.

"Kami masing-masing sibuk. Jadi, kami cari tarikh dalam bulan puasa juga untuk ambil berkat. Tarikh ini (semalam) saja yang lapang. Alhamdulillah kawan-kawan pun semua suka dengan pilihan saya dan bagi lampu hijau.

"Tak dinafikan sebelum ini ramai juga nak pikat saya. Biasalah kita artis. Apapun ini semuanya urusan Allah. Sebenarnya kalau ikutkan, memang rasa serik nak berumahtangga lagi dan rasa selesa hidup seorang, bersama anak-anak dan cucu.

"Kita rasa kalau boleh tak nak dah. Tapi saya tak menolak jodoh. Itu urusan Allah dan kalau Allah kata jadi, jadilah. Ikut saja aturannya," katanya.

Siti Fairuz mempunyai lima anak dan empat cucu, manakala suaminya juga lima anak dengan 11 cucu.

Mereka akan meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum ke Johor dan Kuantan, Pahang untuk memperkenalkan diri kepada keluarga masing-masing.

Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi selepas Aidilfitri nanti.

Selain Bila Rindu Ku Sebut Namamu, Siti Fairuz turut popular dengan lagu seperti Usah Bertanya Lagi, Wajah Cinta, Sebutan Tak Bermakna dan banyak lagi.

Beliau pernah mengambil keputusan bersara daripada dunia nyanyian selepas mendirikan rumah tangga pada 1990.

Pada 14 Julai 2008, Siti Fairuz berpisah dengan suami, Mohamad Zainuddin Kordi dan membuat kemunculan semula dalam arena nyanyian.

Selepas itu beliau dikatakan bernikah dengan Mahmud Abdul Samad pada 9 September 2011 tetapi turut berakhir dengan perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:14 PM