Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menolak untuk mengadakan konsert berskala mega yang pernah dijayakan 19 tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum beliau bersara dalam industri seni.

Siti berkata, dia berharap konsert yang mampu menghimpunkan lebih 70,000 peminat itu menjadi detik terindah dalam hidupnya.

"Mungkin boleh jadi kenyataan atau mungkin tidak ya?

"Kalau nak buat di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi, mungkin sebelum saya bersara ye. Biar jadi kenangan terindah buat semua," tulisnya dalam satu ciapan di aplikasi X semalam.

Siti memuat naik ciapan itu selepas sebuah portal berita berkongsi rekod penonton tertinggi yang dipegang Siti bagi konsert solonya pada 2004 di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dipintas Coldplay yang mengadakan konsert di lokasi sama pada 22 November lalu yang dihadiri lebih 75,000 penonton.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Siti meluahkan rasa terharu apabila portal berkenaan yakin penyanyi nombor satu negara itu mampu memintas rekod penonton Konsert Coldplay : Music Of The Spheres World Tour itu.

Dalam masa sama, perkongsian Siti itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat yang rata-rata belum bersedia sekiranya penyanyi kegemaran mereka itu mengambil keputusan bersara.

"Janganlah cerita fasal bersara lagi. Kami semua tidak bersedia untuk kehilangan Siti.

"Tak boleh bersara, berehat okey.

"Nak konsert mega Siti di Stadium Nasional Bukit Jalil, tapi tak nak yang bersara tu," komen peminat.

Siti Nurhaliza Fantasia Tour pada 2004 itu juga satu-satunya konsert artis tempatan yang direkodkan pernah mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan jumlah peminat yang ramai.

Antara artis luar negara yang pernah mengadakan konsert di lokasi berkenaan dengan jumlah penonton ramai ialah Blackpink, Ed Sheeran, Muse, AR Rahman, Jacky Cheung dan Jay Chou.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:58 PM