Siti Fairuz
Siti Fairuz
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Fairuz, 57, pernah ditawarkan menyertai pertandingan realiti nyanyian popular Gegar Vaganza sejak musim pertama lagi.

Penyanyi bernama sebenar Siti Fairuz Sheikh Mohamed ini bagaimanapun menolak dengan baik kerana mempunyai pendirian tersendiri dalam perkara itu.

"Pandangan peribadi saya, pada usia sekarang dan dengan stamina yang ada, rasanya tak cukup untuk masuk bertanding.

"Walaupun GV banyak disertai penyanyi yang dikatakan veteran, tapi kemampuan fizikal seseorang tidak sama. Jika 10 tahun lalu mungkin juga boleh. Namun, dalam keadaan sekarang, jika masuk sekadar untuk dikenali tetapi tanpa persediaan hanya akan memalukan diri," katanya kepada Harian Metro.

Siti Fairuz yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu berkata, dia tidak mahu menyertai pertandingan nyanyian semata-mata untuk mengejar populariti.

"Nama saya mungkin sudah dikenali. Untuk dikenali oleh generasi baru pula, pada saya lagu-lagu lama sentiasa dimainkan di stesen radio. Kalau bukan nyanyian penyanyi asal, ia dinyanyikan oleh penyanyi generasi baru.

"Apabila seseorang sudah sampai pada satu peringkat umur, mungkin ada alternatif lain seperti memulakan perniagaan. Kita bagi peluang kepada generasi baru pula. Saya tak nafikan saya boleh menyanyikan pelbagai genre lagu tapi stamina membataskan kemampuan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 1:46 PM