Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang - Peringkat Kedua DIMP yang membawa gelaran Datuk kepada Penyanyi, Siti Fairus Sheikh Mohamed. FOTO Bernama
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang - Peringkat Kedua DIMP yang membawa gelaran Datuk kepada Penyanyi, Siti Fairus Sheikh Mohamed. FOTO Bernama
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya tak kisah orang nak kata apa. Yang penting saya anggap anugerah ini satu penghargaan kepada insan seni," kata penyanyi Datuk Siti Fairuz.

Semalam, penyanyi bernama sebenar Siti Fairus Sheikh Mohamed ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut dikurniakan gelaran Datuk adalah penyanyi Francisca Peter atau nama sebenarnya Luciana Francissca Lucian G. Peter.

Siti Fairuz, 58, berkata, sama ada berat atau tidak membawa gelaran Datuk, sebagai penyanyi dia tetap perlu memberi contoh yang baik di mata masyarakat.

"Tapi kalau dah ada gelaran mungkin layanan orang pada kita berbeza, tapi tanggapan kita pada orang masih sama.

"Orang kata seronok, bukan seronok apa. Cuma kita anggap sekadar penghargaan. Saya tetap biasa sahaja. Darjat tetap sama dengan kawan-kawan.

"Tiada protokol kecuali gelaran ini harus digunakan untuk majlis rasmi. Kalau yang biasa, panggil nama saya sahaja pun okey," katanya.

Penyanyi, Datuk Siti Fairuz. FOTO Asyraf Hamzah
Penyanyi, Datuk Siti Fairuz. FOTO Asyraf Hamzah

Penyanyi lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu ini berkata, baginya penganugerahan ini satu penghargaan kepada dirinya yang juga anak Pahang.

"S mengharumkan nama Pahang dalam bidang hiburan. "Fran pula dipilih sebagai cara Tuanku menghargai anak seni kerana saban tahun ada sahaja insan seni yang dipilih untuk diberi penghargaan," katanya ketika ditemui hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-73 komposer S Atan, malam tadi.

Siti Fairuz yang kini aktif berniaga minyak wangi dan pewangi fabrik berkata, berita pemilihannya dimaklumkan oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sejak sebulan yang lalu tetapi perlu dirahsiakan daripada umum atas arahan istana.

"Selepas 1 Ogos (semalam) barulah boleh dihebohkan. Saya pergi ambil sendiri anugerah ini pada istiadat penganugerahan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.

"Diakui awal-awal sekali saya terkejut kerana masa mula-mula dapat surat ingatkan dapat tawaran show mungkin dari istana.

"Memang begitu caranya setiap kali ada undangan menyanyi dari Istana Pahang. Tapi bila buka terkejut juga. Tapi inilah rezeki," katanya.

Menurutnya, jika ada orang bercakap-cakap, dia ingin menjelaskan pemilihan dibuat oleh mereka yang dilantik.

"Bukan kita yang menilai diri sendiri. Orang yang memberi dan menilai. Saya sebagai orang yang diberi, dipilih atas kerjaya sebagai penyanyi.

"Pengorbanan saya sebagai penyanyi dilihat menaikkan nama negeri, kampung serta menghiburkan rakyat jelata," katanya.

Penyanyi yang mempunyai lima anak dan empat cucu ini berkata, dia selesa menjalani kehidupan sendirian serta mencari pendapatan bersesuaian dengan umur.

"Anak-anak pun dah besar. Saya kini solo dan tidak terfikir untuk cari teman hidup. Apapun saya kena serahkan segalanya pada Allah.

"Tak boleh kata tidak atau ya. Kalau Dia tetapkan ada, adalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:25 PM