BERKUNJUNG ke pusat pemuliharaan gajah.
BERKUNJUNG ke pusat pemuliharaan gajah.
ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi.
ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi.
ROHANA dan Salimah menyanyi sambil diiringi oleh kumpulan Melodi Buskers yang turut disaksikan Mas Omar (dua dari kanan).
ROHANA dan Salimah menyanyi sambil diiringi oleh kumpulan Melodi Buskers yang turut disaksikan Mas Omar (dua dari kanan).
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Bukan mudah untuk mereka berkumpul beramai-ramai dalam satu tempoh yang lama kerana masing-masing sibuk dengan jadual aktiviti seni yang tidak pernah berhenti.

Justeru, kesempatan mengikuti rombongan percutian ke destinasi popular, Hat Yai, Thailand dengan kereta api, baru-baru ini digunakan sebaik mungkin oleh barisan artis popular era 1980-an dan 1990-an seperti Datuk Dhalan Zainuddin, Rohana Jalil, Mek Habsah, Siti Fairuz dan Salimah Mahmood bagi memupuk kemesraan selain mengeratkan silaturahim.

Turut menyertai program ialah isteri Dhalan, Datin Effa Rizan dan suami Salimah, Mirza serta peminat.

Percutian selama tiga hari dua malam itu dikendalikan pasangan pengurus acara popular, Mas Omar dan isterinya, Sawiah Ali.

Mereka turut dibantu beberapa tenaga kerja antaranya Habsah Yusof yang menguruskan penginapan rombongan seramai 60 orang serta pemilik NQ Donut, Ismail Salim atau Kamal yang membekalkan makanan untuk kantin gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Apa yang menarik, semua peserta rombongan diletakkan dalam koc khas dipanggil Event dan dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan Melodi Buskers yang membuat persembahan dalam perjalanan yang mengambil masa lebih 10 jam itu.

Sudah namanya penyanyi, semua artis ini memang ‘pantang’ melihat mikrofon dan tidak melepaskan peluang menyampaikan lagu popular diiringi Melodi Buskers.

Perjalanan turut dimeriahkan dengan sesi karaoke dan masing-masing tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan sepanjang perjalanan dari KL Sentral hingga Hat Yai.

Sepanjang di Hat Yai, semua anggota rombongan tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di lokasi terkenal seperti Floating Market serta melawat ke tempat menarik antaranya Songkhla yang dikenali dengan legenda ikan duyung.

Meskipun percutian ini singkat, ia berjaya mewujudkan kemesraan luar biasa sesama artis serta peminat. Bahkan sudah ada yang merancang mengadakan aktiviti serupa pada masa akan datang.

Dhalan berkata, ini pengalaman pertamanya terbabit dalam percutian sebegini dan amat menyeronokkan.

“Saya pernah diajak sebelum ini tapi ketika itu kurang sihat dan dimasukkan ke hospital selama 10 hari. Sekarang baru saya berpeluang turut serta bersama isteri dan ia sememangnya ditunggu-tunggu.

“Kalau kami nak pergi bercuti berdua memanglah boleh, tapi ia tak sama dengan pergi bersama kawan-kawan. Ini kali pertama saya ke Hat Yai dan ia memang menyeronokkan.

“Sebelum ini saya pernah ke Bangkok dan Pattaya. Selain itu, sejak kecil memang minat saya ialah kereta api. Saya suka naik kereta api sejak kecil tapi sebenarnya sudah lebih 40 tahun saya tak naik kereta api.

“Hobi saya ialah kumpul koleksi replika kereta api. Setiap anak saya ada koleksi kereta api mainan yang saya hadiahkan. Sekarang saya belikan untuk cucu pula,” katanya.

Effa pula gembira kerana dapat berjumpa semula dengan rakan artis selepas lama berehat.

“Sebelum ini saya sibuk besarkan anak-anak. Sekarang mereka sudah besar dan ada yang sudah berkeluarga” katanya.

Sementara itu, Rohana berkata, dia pernah mengikuti program yang sama, namun tetap menyukai program sebegini kerana dapat bertemu semula rakan lama.

“Kali ini bilangan pesertanya memang ramai. Program ini sangat santai dan dapat merehatkan fikiran kita daripada berfikir soal kerja,” katanya.

Siti Fairuz pula yang lebih 20 tahun berehat daripada dunia seni sebelum kembali aktif menyanyi menyifatkan program ini sangat menyeronokkan kerana dapat berjumpa dengan rakan artis yang ‘sekepala’.

Salimah dan Mirza juga baru kali pertama berpeluang me–ngikuti rombongan sebegitu dan pengalaman yang dilalui sangat menyeronokkan.

“Dulu memang tiada kesempatan langsung. Sekarang saya lega kerana suami pun dah bersara. Jadi dapatlah kami berdua habiskan masa bersama serta turut sama rakan artis lain dalam program begini,” katanya.

Sementara itu, Sawiah menyifatkan program anjurannya ini berjaya dan berjalan lancar.

“Kami pernah buat program begini pada awal tahun yang disertai 25 orang termasuk artis. Selepas ia tersebar di laman sosial, ada permintaan untuk dibuat sekali lagi untuk kali kedua,” katanya yang akan meneruskan lagi program percutian ini pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM