Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, mengakui teringin melawat ke sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang dibangunkannya menerusi Yayasan Nurjiwa dan sudah beroperasi sejak 5 Oktober 2021 lalu.

Siti ditemui berkata, sebagai pengasas semestinya beliau mempunyai keinginan melawat ke sekolah itu, namun dalam keadaan sekarang ia tidak mudah kerana kawasan Gaza masih bergolak dan berisiko tinggi untuk keselamatan.

"Alhamdulillah, buat masa ini sekolah kanak-kanak Afwa Al-Afiyah mempunyai lebih 50 orang pelajar yang kami sediakan segala keperluan pembelajaran peringkat awal untuk mereka dalam bidang al-Quran dan akademik, termasuk akhlak, adab dan sebagainya.

"Kami juga menyediakan serta memastikan infrastruktur pendidikan dan pembelajaran dalam keadaan yang baik dan mencukupi kerana ramai kanak-kanak di Gaza itu mempunyai impian ingin menimba ilmu di sekolah. Cuma, situasi keselamatan mereka masih berhadapan peperangan," katanya kepada Harian Metro.

Siti berkata, walaupun masih belum berkesempatan mengadakan lawatan ke Gaza, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan pelajar dan guru di sekolah itu, termasuk segala keperluan dan kelengkapan diperlukan.

"Pihak Yayasan Nurjiwa ada wakil khas di Gaza yang diberi kepercayaan untuk menguruskan sekolah, guru, pelajar, termasuk kemudahan makanan dan minuman disediakan pada waktu persekolahan.

"Kami memang berhasrat mahu memberi peluang kepada kanak-kanak Palestin ini mendapat pendidikan awal dalam bangunan sekolah lebih selesa yang disediakan," katanya.

Dari kiri, Jay Jay, Ernie Zakri dan Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama-sama pengarah muzik, Aubrey Suwito ketika sidang media Konsert Satu Suara Vol.3. FOTO Aziah Azmee
Dari kiri, Jay Jay, Ernie Zakri dan Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama-sama pengarah muzik, Aubrey Suwito ketika sidang media Konsert Satu Suara Vol.3. FOTO Aziah Azmee

Siti yang masih aktif dalam bidang nyanyian berkata, kini menjadi satu kepuasan buatnya apabila dapat berkongsi semula kepada masyarakat dengan menolong mereka yang memerlukan menerusi misi bantuan seperti bencana alam, pembangunan surau dan masjid serta sekolah.

"Menerusi Yayasan Nurjiwa, saya bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa bekerjasama melaksanakan pelbagai program dan dana yang diperoleh kami sumbangkan kepada yayasan untuk menjayakan beberapa misi bantuan termasuk pembangunan modal insan," katanya.

Mengenai perancangan karier seninya, Siti akan mengadakan Konsert Satu Suara Vol 3 yang berlangsung pada 13 Mei ini di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, jam 8.30 malam.

Turut sama menjayakan konsert itu ialah penyanyi Jay Jay dan Ernie Zakri yang bakal menjanjikan persembahan hebat membabitkan penghibur dari tiga generasi iaitu era 1970-an, 1990-an dan 2000-an.

Terdahulu, Siti pernah mengadakan Konsert Satu Suara Vol 1 pada 2010 dan Konsert Satu Suara Vol 2 pada 2015.

Kini, selepas lapan tahun bakal diadakan kembali Konsert Satu Suara Vol 3 dengan harga tiket dari RM288 sehingga RM588.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 11:54 AM