KONSERT Satu Suara Volume 3 menampilkan Siti, Jay Jay dan Ernie. FOTO Rohanis Shukri
KONSERT Satu Suara Volume 3 menampilkan Siti, Jay Jay dan Ernie. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


LANTUNAN vokal anak seni popular dan diminati ramai iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah mengecewakan setiap telinga yang mendengar.

Keindahan suara itu juga yang mengisi segenap ruang acara di Konsert Satu Suara Volume 3 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

Lebih indah, konsert ini turut menggabungkan Siti juga figura yang mendapat jolokan 'Penyanyi Nombor Satu Negara' ini dengan dua lagi bintang, Jay Jay serta Ernie Zakri.

Tidak sekadar acara muzik, Konsert Satu Suara Volume 3 juga menjadi ruang untuk Siti menerusi Yayasan Nurjiwa mengutip dana bagi membantu masyarakat dalam dan luar negara.

"Apa yang digambarkan dan dirancang dapat diterjemahkan dengan baik. Bukan saja artis yang membuat persembahan, tetapi juga barisan pemuzik profesional terbabit.

"Untuk pengisiannya, konsep yang ditonjolkan ini turut mengambil kira idea daripada rakan-rakan di sekeliling saya. Paling penting dalam pengisian itu adalah mengutip dana seiring objektif berhibur sambil menderma," katanya.

Siti juga berharap supaya mesej daripada pengisian itu sampai tepat ke hati penonton yang juga penyumbang kepada kutipan dana berkenaan.

"Di layar pentas pun, anda dapat lihat visual yang memaparkan aktiviti serta program dianjurkan Yayasan Nurjiwa. Semuanya kami lakukan secara berterusan sehingga hari ini.

"Sumbangan diterima daripada orang ramai, kami salurkan kepada rakyat Malaysia dan kanak-kanak di Gaza, Palestin," katanya.

Mempersembahkan lagu popularnya secara solo, Siti turut bergabung tenaga mendendangkan beberapa lagu secara duet dan trio bersama Jay Jay serta Ernie.

Menurut Siti, kedua-dua mereka membawa kejayaan dan pencapaian masing-masing dalam era tersendiri.

PERSEMBAHAN mantap membabitkan tiga generasi penghibur iaitu Jay Jay, Siti dan Ernie. FOTO Rohanis Shukri
PERSEMBAHAN mantap membabitkan tiga generasi penghibur iaitu Jay Jay, Siti dan Ernie. FOTO Rohanis Shukri

"Abang Jay Jay menunjukkan keistimewaannya sebagai artis legenda dengan lagu yang malar segar sehingga hari ini. Disebabkan itu saya rasa patut membawa Abang Jay Jay untuk berada sama di pentas Konsert Satu Suara ini.

"Sementara itu, Ernie juga cukup dikenali dengan lantunan vokalnya yang mantap. Jadi, secara tak langsung, kami bertiga mewakili tiga generasi muzik dari era masing-masing," katanya.

Siti juga memaklumkan bahawa konsert dengan jenama Satu Suara itu diteruskan dalam edisi berbeza pada tahun akan datang, di samping konsert solonya.

"Penjenamaan Konsert Satu Suara ini akan berterusan dan Insya-Allah diteruskan untuk volume keempat

. Tapi, pada masa sama, saya merancang mengadakan konsert solo juga.

"Asalnya ia dirancang untuk diadakan dalam masa terdekat ini, namun saya akui, tidak boleh paksa peminat membeli tiket memandangkan Konsert Satu Suara pun baru saja selesai.

"Jadi, saya kena adil untuk mereka di samping menjaga nilai eksklusif sendiri. Jadi, Insya-Allah ia berlangsung pada tahun depan," katanya.

Terbaharu, Siti kini sudah merakam tujuh lagu untuk albumnya hasil kerjasama dengan komposer dalam dan luar negara.

"Alhamdulillah, saya sudah rakamkan tujuh lagu baharu dalam bulan Ramadan lalu. Jadi, agak mencabar juga sesi rakaman itu.

"Tapi, syukur Allah permudahkan rakaman untuk semua lagu itu. Insya-Allah, saya akan cuba sempurnakan album itu dalam tahun ini juga, tapi tak mahu terlalu terburu-buru.

SITI bakal hadir dengan album terbaharu. FOTO Rohanis Shukri
SITI bakal hadir dengan album terbaharu. FOTO Rohanis Shukri

"Bakal ada 12 lagu semuanya, hasil ciptaan komposer tempatan dan dari Indonesia. Saya kini banyak bekerjasama dengan anak-anak muda kerana permintaan mereka yang segar dari sudut nyanyian dan sebagainya," katanya.

Antara lagu yang akan dimuatkan termasuk Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari yang dipersembahkan di pentas Konsert Satu Suara Volume 3.

"Komposer dari Indonesia yang hasilkan lagu untuk album ini ialah Melly Goeslaw. Selain itu, ada juga dimuatkan hasil karya Andi Rianto iaitu lagu Menjaga Cintamu yang menjadi runut bunyi (OST) filem Anwar: The Untold Story.

"Manakala lagu Sehebat Matahari pula mengangkat kisah yang ingin meniup semangat terutama buat mereka bergelar anak seni. Lagu ini adalah hasil ciptaan Aubrey Suwito," katanya.

Konsert Satu Suara Volume 3 dihangatkan dengan lagu popular Siti antaranya Siti Situ Sana Sini, Kesilapanku Keegoanmu, gabungan lagu Wajah Kekasih dan Gundah, Joget Angan Tak Sudah, Rindu Bayangan, Boneka serta

beberapa lagu Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:00 AM