Siti Nurhaliza pada sidang media persembahan amal Music of the soul- An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan diadakan di Dewan Plenary KLCC. FOTO Rohanis Shukri
Siti Nurhaliza pada sidang media persembahan amal Music of the soul- An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan diadakan di Dewan Plenary KLCC. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka sekolah pendidikan awal kanak-kanak diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin, hampir setahun lalu. 

Siti, 43, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, sekolah yang ditubuhkan menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu kini diuruskan oleh sahabat mereka yang juga orang tempatan di sana. 

"Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu. Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami. Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar. 

"Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana. Dia akan mengemaskini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana. 

'Sekolah ini sudah hampir setahun beroperasi. Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar. Setiap bulan memang diperuntukkan RM10,000, kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap," katanya.

Pelajar Sekolah Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin.
Pelajar Sekolah Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin.

 

Terdahulu Siti ditemui pada Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza, di sini, hari ini. 

Menurut Siti, dia dan suami memasang impian untuk ke Gaza bagi melawat sekolah yang mereka tubuhkan itu. 

"Rasa nak pergi, dan menjadi impian saya dan suami nak ke sana. Insya-Allah, bila keadaan mengizinkan. 

"Insya-Allah, nak dirikan sekolah sendiri juga. Macam yang saya cakap, apabila ada rezeki dan ramai membantu, boleh menjadi kenyataan. Lebih daripada itu kita boleh buat," katanya. 

Mengenai Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza, menurut Siti ia adalah persembahan amal bagi mengutip dana yang akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.

"Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November), semua untuk Yayasan Nurjiwa. Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah, kita terbuka. Sebab sekarang pun kita masih kutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund. 

"Dana daripada yayasan ini bukan khusus untuk sekolah Afwa & Aafiyah saja, tapi kita bantu juga rakyat Malaysia, mana yang terkesan dengan banjir, Covid-19 dan yang nak membina masjid.

Kutipan dana ni pun bukan pertama kali, sebelum ini saya sudah dua tiga kali mengadakan persembahan sebegini. Selain itu masyarakat juga ada menyumbang menerusi tabung yang dilancarkan. 

"Pada mulanya nak buat setakat musibah dan bencana saja, tapi fikir balik teruskan saja dan bergabung dengan Yayasan Nurjiwa. Kalau diikutkan hasil dari jualan tiket, setelah kos, memang salurkan ke Yayasan Nurjiwa. Macam mana nak bahagikan, nanti pihak yayasan akan bahagikan. Jadi, kutipan persembahan ini juga bukan untuk sekolah kami di Gaza saja, tapi khusus untuk semua," katanya. 

Antara persembahan amal yang pernah dijayakan Siti bagi disalurkan ke Yayasan Nurjiwa adalah Konsert Satu Dato' Siti Nurhaliza (2009) dan Dato' Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is (2014). 

Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza bakal diadakan pada 5 dan 6 November depan di Dewan Planery, KLCC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 10:00 PM