Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bergabung suara bersama Jay Jay dan Ernie Zakri menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3. FOTO ROHANIS SHUKRI
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza bergabung suara bersama Jay Jay dan Ernie Zakri menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur atas kejayaan Konsert Satu Suara Volume 3 yang berlangsung malam tadi mencapai sasaran kutipan dana untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dan anak-anak di Gaza, Palestin.

Siti ketika ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat serta orang perseorangan yang turut menyalurkan sumbangan.

"Di samping apa yang dipersembahkan, saya ingin penonton tahu bahawa pengisiannya adalah untuk saya kumpul dana.

"Sebab itu anda dapat lihat visual aktiviti dan program Yayasan Nurjiwa. Sehingga sekarang pun, kutipan dana masih lagi diteruskan dan kita akan salurkan bukan saja untuk rakyat Malaysia, tetapi juga anak-anak di Gaza.

"November lalu, kami berjaya mengumpul dana lebih RM1 juta. Malam ini, dalam tempoh satu malam dengan kapasiti terhad, jumlah kutipannya masih memberangsangkan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua, antaranya syarikat-syarikat korporat yang memberi sumbangan peribadi dan juga melalui syarikat," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai angka kutipan, Siti memaklumkan bahawa sasaran dan matlamatnya tercapai.

"Anggaran jumlahnya saya tak boleh nak beritahu buat masa sekarang, tapi, apa yang boleh saya kongsikan, kita mencapai sasaran dan matlamat seperti yang dirancang," katanya.

Berkongsi perasaannya mengenai pergolakan yang berlaku di Gaza yang menjadi lokasi terletaknya sekolah Afwa Al-Afiyah yang dibangunkan oleh Yayasan Nurjiwa, Siti memaklumkan sentiasa mendapat maklumat terkini daripada sahabat yang berada di sana.

"Setiap kali ada pergolakan di sana, kami sentiasa akan bertanya khabar dan mengambil tahu maklumat terkini daripada wakil di sana.

"Memang rasa sangat kasihan dengan anak-anak di sana yang mana, saya dengar ada roket yang hampir dengan kediaman serta sekolah mereka. Saya harap, sekolah yang menjadi tempat anak-anak ini menimba ilmu dilindungi Allah SWT," katanya.

Konsert Satu Suara Volume 3 menampilkan Siti berkongsi pentas bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 11:26 AM