JAY JAY memulakan karier seni pada 1979. FOTO Aziah Azmee
JAY JAY memulakan karier seni pada 1979. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


JARANG berhadapan masalah kesihatan sebelum ini, penyanyi popular era 1970-an, Jay Jay, 65, mendedahkan dirinya diserang penyakit bronkitis atau batuk berkahak ketika melawat keluarga anaknya di Norway pada 29 Januari lalu.

Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus berkata, dia berada selama sebulan di negara itu sebelum balik ke Malaysia pada 26 Februari lalu dalam keadaan kesihatan kurang baik akibat batuk berkenaan.

"Setibanya di sana (Norway) saya tiba-tiba saja diserang batuk berkahak dan ia sangat menyakitkan. Bagaimanapun, selama di negara itu, saya hanya makan ubat batuk tanpa mengambil ubat-ubatan lain seperti antibiotik.

"Apapun, saya sudah mendapatkan rawatan lanjut selepas balik ke Malaysia dan doktor pula memaklumkan masalah batuk yang dialami itu disebabkan 'kahak jahat'. Namun, ia perlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Tapi, dengan masalah kesihatan itu, saya sebenarnya pernah menangis selepas menjayakan satu persembahan nyanyian baru-baru ini kerana berasakan vokal saya amat terganggu terutama apabila melontarkan nada tinggi," katanya.

Jay Jay berkata, masalah batuk itu benar-benar membuat dirinya 'down'. Jelasnya, bagaimanapun dia lebih selesa melihat positif selepas itu kerana yakin setiap penyakit ada ubatnya dan apa yang berlaku adalah suratan takdir Yang Esa.

Berbicara perkembangan kariernya, Jay Jay berkata dia berasa sangat berbangga apabila penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi mengajaknya untuk menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3 yang bakal berlangsung pada 13 Mei depan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza.

"Saya amat berbesar hati apabila Siti mahu menawarkan untuk terbabit dalam Konsert Satu Suara Vol 3 yang dianjurkan nanti. Saya sudah lama juga ada keinginan untuk menyanyi bersama-sama Siti di dalam konsertnya. Alhamdulillah, rezeki saya.

"Maklumlah saya mula bermain muzik dan menyanyi pada tahun 1979. Ketika itu, rasanya ramai penyanyi sekarang dan peminat muzik masa kini belum lahir lagi. Jadi, kemunculan saya untuk konsert ini umpama klasik dan lagenda. Biasalah, orang lama," katanya.

 JAY JAY teruja nak jayakan Konsert Satu Suara Vol 3 bersama Siti Nurhaliza dan Ernie. FOTO Aziah Azmee
JAY JAY teruja nak jayakan Konsert Satu Suara Vol 3 bersama Siti Nurhaliza dan Ernie. FOTO Aziah Azmee

Jay Jay yang juga bekas penyanyi kumpulan Carefree berkata dia sangat meminati muzik dan nyanyian. Jelasnya, dia juga tidak sangka dapat bertahan dalam karier seni sehingga kini dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Bayangan dan Angan Tak Sudah ini berkata, dalam Konsert Satu Suara Vol 3, dia juga tidak sabar untuk bekerjasama dengan seorang lagi penyanyi wanita iaitu Ernie Zakri. Katanya, Siti dan Ernie memiliki vokal mantap.

"Siti, kalau menyanyi sedap didengar. Apa saja lagu, mampu dinyanyikannya dengan baik. Begitu juga Ernie, vokalnya lantang dan bertenaga. Kini harapan saya agar tiket Konsert Satu Suara Vol 3 laris dan mendapat sambutan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 6:08 AM