BERGOTONG-ROYONG membersihkan halaman sekolah yang disaluti lumpur berikutan banjir besar melanda sekolah itu Ahad lepas. FOTO Bernama
BERGOTONG-ROYONG membersihkan halaman sekolah yang disaluti lumpur berikutan banjir besar melanda sekolah itu Ahad lepas. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menawarkan kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan, individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir di Sabah, membabitkan Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, kemudahan ini ditawarkan bagi mengurangkan beban dan kesulitan yang dihadapi pelanggan sekali gus berharap dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

"Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini," katanya pada kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

Antaranya membabitkan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i.

Menurut Bank Rakyat, pelanggan yang terjejas boleh membuat permohonan itu melalui emel di [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Pelanggan perniagaan juga boleh mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan, katanya.

Pelanggan boleh melayari laman web rasmi bank itu di www.bankrakyat.com.my, menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 12:41 PM