SYED Wafa
SYED Wafa
Ridzuan Abdul Rahman


Hulu Klang: Pelukis, Syed Yusof Wafa atau Wafa terharu diberikan peluang melukis potret Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena program Ekspresi@Finas yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), di sini, semalam.

Wafa yang dikenali sebagai pelukis selebriti berkata, permintaan Pengerusi Finas, Datuk Seri Zurainah Musa pada saat akhir itu disambut sebagai satu tanggungjawab olehnya.

"Rasa teruja walaupun diberi tempoh masa yang singkat iaitu hanya dua hari. Bayangkan saya kalau nak melukis paling cantik ambil masa seminggu atau lebih.

"Saya guna beberapa berus dan teknik untuk melukis. Pelawaan itu datang pada Khamis. Pada masa sama, Ketua Pengarah Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim minta saya lukis potret Allahyarham Hussein Abu Hassan untuk diserahkan kepada keluarganya sempena Program Pengkisahan yang berlangsung pada Ahad.

"Maknanya kedua-duanya kena disiapkan dalam masa dua hari sampaikan saya tak tidur untuk siapkannya," katanya.

Menurutnya, selama ini dia tidak pernah mengambil tawaran pada saat akhir walaupun permintaan terbabit daripada artis terkenal.

"Saya tolak walaupun nak sangat jumpa artis terbabit. Mana sempat nak lukis dan kalau lukis pun pasti tak puas hati. Namun saya berbesar hati dengan peluang yang diberikan Finas. Tambah pula membabitkan dua nama besar.

"Kebetulan ada pula warna saya yang habis. Jadi saya terpaksa berkejar ke kedai yang terletak di Petaling Street untuk beli set yang baru," katanya.

Dia juga berdepan cabaran cuti umum apabila kedai bingkai ditutup dan terpaksa membeli bingkai yang sedia ada dan menggunakan kreativiti untuk mencantikkannya.

Program Ekspresi@Finas berlangsung selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam.

Perdana Menteri hadir merasmikan Majlis Penutup program terbabit di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 4:26 PM