WARDAH bersama  lukisan yang dihasilkannya.
WARDAH bersama lukisan yang dihasilkannya.
AHMAD Rais bersama lukisan yang dihasilkannya.
AHMAD Rais bersama lukisan yang dihasilkannya.
Redzuan Muharam


Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 , syarikat minuman tenaga, Redbull dengan kerjasama Balai Seni Visual Negara (BSVN) buat julung kalinya menganjurkan Pameran Seni Lukis #EhWauBulan yang bermula dari 31 Ogos hingga 7 September ini.

Pameran bertempat di WhiteBox@Map KL, Publika, Kuala Lumpur dan menampilkan 59 hasil karya 44 artis tempatan terdiri daripada pelajar, pelukis jalanan dan profesional yang disenarai pendek daripada 332 penyertaan diterima penganjur.

Peserta, Wardah Faisal, 21, berkata, dia teruja kerana pertama kali dapat mengambil bahagian dalam pameran seni lukis berkenaan.

Penuntut Seni Reka Grafik Segi College itu juga rasa bertuah kerana berjaya menempatkan lukisannya di pameran yang turut disertai pelukis lebih berpengalaman.

“Saya minat melukis sejak kecil dan memang sudah lama menantikan peluang menyertai pameran sebegini kerana yakin ia platform yang baik bagi mengetengahkan diri dan karya dihasilkan.

“Meskipun berjaya turut serta dalam pameran ini, saya belum puas dan akan terus menyertai acara serupa pada masa akan datang untuk memperbaiki kekurangan diri,” katanya yang cenderung menghasilkan lukisan potret.

Seorang lagi peserta, Ahmad Rais Mohamed Azmi, 23, berkata penyertaan dalam Pameran Seni Lukis #EhWauBulan adalah salah satu inisiatifnya untuk mengetengahkan karya yang dihasilkan.

Anak bongsu daripada empat beradik yang kini bergelar pelukis sepenuh masa itu berkata, platform sebegitu amat penting baginya dan pelukis muda lain untuk mencipta nama supaya lebih dikenali.

“Ramai mempunyai bakat melukis tetapi tidak yakin untuk bergelar pelukis kerana bimbang kerjaya itu tidak mempunyai jaminan masa depan.

“Sedangkan pekerjaan sebagai pelukis juga boleh memberi pulangan dengan syarat kita rajin berusaha dan aktif mengambil bahagian dalam program sebegini.

“Secara peribadi, saya cukup bertuah kerana mendapat sokongan penuh keluarga terutama ayah, Mohamed Azmi Ahmad, 56, dan jika diperhatikan, banyak syarikat yang mula memberi galakan kepada artis tempatan menerusi penganjuran program seperti ini,” katanya yang menghasilkan lukisan potret dengan elemen adiwira, Superman sebagai simbolik kekuatan.

Majlis pelancaran pameran mendapat kerjasama Balai Seni Lukis Negara diadakan sehari sebelum pameran dibuka kepada umum dan potret lukisan pelukis sepenuh masa, Latif Maulan dipilih sebagai pemenang utama.

Tiada wang tunai atau hadiah dalam bentuk barangan sebaliknya kemenangan itu memberi peluang untuk Latif bekerjasama dengan tiga juri pertandingan berkenaan iaitu Fritilldea, Ivan Lam dan Philip Wong menerusi program bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 3:22 AM