Anggota PERHILITAN mengangkat bangkai beruang matahari yang mati dilanggar di Lebuh Raya Pantai Timur Dua. Foto Rosli Ilham
Anggota PERHILITAN mengangkat bangkai beruang matahari yang mati dilanggar di Lebuh Raya Pantai Timur Dua. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Seekor beruang matahari mati selepas dirempuh dua buah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 299, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) arah Kuantan dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kijal, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, beruang terbabit dilanggar dua kenderaan jenis Honda Civic dan Toyota Alphard kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, beruang yang dianggarkan seberat kira-kira 90 kilogram terbabit tiba-tiba melintas di situ sebelum dilanggar salah sebuah kenderaan terbabit.

"Sebaik dilanggar, beruang itu dikatakan cuba melintas sekali lagi sebelum sebuah lagi kenderaan yang berada di lorong kanan gagal mengelak lalu melanggarnya.

"Beruang terbabit mati di situ dan diambil pihak anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.

Hanyan berkata, beruang terbabit dikatakan cedera di bahagian kepala dan badan dan ketika kejadian, beruang itu dipercayai melintas untuk masuk ke hutan berhampiran.

"Kita menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan kejadian terutamanya pada waktu malam bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:53 AM