ADINO bersama hasil lukisannya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
ADINO bersama hasil lukisannya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: "Saya mula minat melukis sejak berusia tiga tahun sehinggalah sekarang," kata pelukis, Adino Mohd Sani, ketika ditemui di Ampangan, di sini.

Adino, 52, berkata, bakatnya mula terserlah ketika berusia 11 tahun apabila menyiapkan satu potret hingga mendapat pujian ramai ketika itu.

"Ia mungkin bakat semulajadi dikurniakan Allah dan saya akan sentiasa melukis jika ada masa terluang sama ada ketika di sekolah atau di rumah.

"Ketika berusia 16 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, saya mula memberanikan diri menerima tempahan potret dan sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus melukis sehingga hari ini," kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Menurutnya, setahun selepas tamat persekolahan, dia sudah memberanikan diri melukis di Central Market (CM), Kuala Lumpur dari 1987 sehingga 1995.

Katanya, di situ dia menimba banyak pengalaman daripada pelukis otai atau orang lama bagi menambah kemahiran dalam bidang diminatinya itu.

"Selepas itu saya buat untuk animasi dengan Anak-Anak Sidek sekitar dua tahun dan kemudian di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekejap, selama setahun secara kontrak.

"Saya berhenti di DBP kerana tidak sesuai bekerja mengikut waktu pejabat berikutan tidak bergantung dengan masa dan tidak mahu terkongkong," katanya.

Adino berkata, sekarang dia banyak mengambil tempahan melukis mural seperti ikan dan binatang di dinding dalam rumah serta melukis lukisan ikut tempahan pelanggan.

Katanya, dia selesa melakukan kerja bebas seperti itu sambil berkarya mengikut kehendak pelanggan yang selari dengan minat mendalam kepada seni lukis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 5:00 PM