INTAN bersama lukisan yang memerlukan penelitian terperinci.
INTAN bersama lukisan yang memerlukan penelitian terperinci.
Muhamaad Razis Ismail

Melihat karya seni yang dihasilkan, pasti ramai tidak menyangka pelukisnya adalah seorang wanita yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang sains komputer.

Dayang Siti Nur Intan Baizura Abang Sulaiman, 39, bukan calang-calang pelukis kerana lukisan potretnya mendapat tempahan dari pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, VVIP dan ahli politik.

Menariknya, ibu kepada tiga cahaya mata ini mempelajari seni lukisan di YouTube ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Siapa sangka, lukisan Dayang Siti Nur Intan Baizura atau mesra disapa Intan yang dikongsikan di media sosial sekadar suka-suka berjaya menarik perhatian ramai pihak sehingga mampu menjana pendapatan lumayan melalui penghasilan karya seni sejak empat tahun lalu di kediamannya di Pulau Pinang.

Dia pernah bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej di Kuching, Sarawak dan mengusahakan perniagaan pakaian, penjualan makanan sebelum memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bidang seni lukis.

INTAN bersama antara lukisan paling bermakna yang pernah dihasilkan.
INTAN bersama antara lukisan paling bermakna yang pernah dihasilkan.

Antara pencapaian tertinggi yang diperoleh adalah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan melukis potret tokoh pendidikan anjuran Muzium Pendidikan Nasional dengan melukis potret Allahyarham Tan Sri Datuk Senu Abdul Rahman.

Intan berkata, semuanya bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2020 apabila dia terpaksa menghentikan operasi penjualan makanan dan tempahan jahitan pakaian disebabkan pandemik yang sedang melanda.

"Saya meluangkan masa dengan menghasilkan lukisan potret dan muat naik hasil karya di media sosial Arts by DSNIB. Saya belajar sendiri selama lebih kurang enam bulan untuk menghaluskan lukisan.

"Malah saya juga bermula dengan lakaran potret menggunakan pensil graphite, warna air dan cat akrilik sebelum fokus kepada medium cat minyak yang nampak lebih realistik berbanding medium lain.

"Kemudian saya menerima tempahan daripada rakan-rakan. Di situlah bermulanya kerjaya saya dalam bidang seni lukis dengan mula menerima tempahan daripada orang perseorangan, agensi kerajaan, swasta dan VVIP," katanya.

Menurutnya, penghasilan lukisan potret menuntut kesabaran yang amat tinggi kerana ketelitian amat diperlukan selain mengambil masa yang agak lama.

"Justeru, saya perlu sabar dan teliti dalam menyiapkan tempahan potret supaya ia dapat memenuhi citarasa tempahan pelanggan

"Bagi saya, melihat pelanggan tersenyum sebaik menerima lukisan yang diinginkan, memberi kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Katanya, dalam menghasilkan karya seni, dia amat menitik beratkan tiga elemen dengan mengamalkan konsep RPC iaitu Respect (hormat), Punctual (menepati masa) dan Cooperate (bekerjasama).

"Saya mesti menghormati setiap permintaan atau tempahan kerana ia adalah hak milik pelanggan. Saya juga harus menepati masa yang ditetapkan kerana ada lukisan yang ditempah selalunya untuk majlis yang sudah lama dirancang.

"Akhir sekali, kerjasama antara saya dan pelanggan menjadi keutamaan bagi membantu penghasilan lukisan yang baik serta berkualiti," katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelukis, lukisan potret membabitkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah paling sukar pernah dihasilkan.

"Saya perlu gabungkan 26 wajah di dalam satu kanvas bersaiz 3 kaki x 4 kaki dalam masa yang agak singkat iaitu lebih kurang sebulan.

"Selain itu, saya pernah menerima tempahan untuk melukis empat potret sama dan perlu memastikan semua potret itu tidak mempunyai lakaran serta tona warna yang berbeza.

LUKISAN  paling sukar yang pernah dihasilkan.
LUKISAN paling sukar yang pernah dihasilkan.

"Ini adalah satu permintaan yang cukup mendebarkan namun saya bersyukur kerana pelanggan amat berpuas hati dengan karya seni yang dihasilkan," katanya.

Baginya lukisan paling bermakna yang pernah dihasilkan adalah Kembara Kenali Borneo membabitkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Permaisuri Agong ke-16 pada ketika itu bersama beberapa individu yang terbabit dalam program itu.

"Ia bukan hanya penghasilan sebuah lukisan semata-mata, malah satu kenangan dan juga ingatan yang turut menjadi lipatan sejarah untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk Sabah dan Sarawak," katanya.

Katanya, sebagai pelukis, dia perlu bijak membahagikan masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga cahaya matanya yang masih bersekolah.

"Sesibuk mana sekali pun, urusan keluarga tetap menjadi keutamaan. Biasanya selepas anak ke sekolah, saya akan mula melukis sehingga anak-anak pulang dan pada sebelah petang saya akan memberi fokus kepada urusan rumah tangga.

"Bagi potret yang agak rumit, selalunya saya akan melukis pada waktu tengah malam kerana dapat memberi lebih tumpuan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berharap hasil karya seninya akan terus mendapat tempat di hati peminat lukisan potret.

"Saya juga berhasrat dapat membuka kelas seni lukis untuk penduduk sekitar terutamanya kepada anak-anak sekolah yang ingin berkecimpung di bidang seni lukis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:02 AM