MOHAMAD Lazim (dua kanan) ketika sidang media di IPD Wangsa Maju. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHAMAD Lazim (dua kanan) ketika sidang media di IPD Wangsa Maju. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Rekrut individu berkemahiran dalam bidang pengatur cara perisian dengan tawaran gaji sehingga RM12,000, itu modus operandi sindiket judi dalam talian mendapat keuntungan hasil penjualan laman aplikasi perjudian sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan dilakukan polis di dua apartmen di Jalan Tun Razak, di sini, pada 27 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menahan 24 individu termasuk 10 wanita berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun dalam kedua-dua serbuan itu.

"Kami menahan 15 individu termasuk dua warga China dalam serbuan pertama jam 3 pagi, manakala serbuan kedua membabitkan penahanan sembilan individu termasuk tujuh warga China dilakukan jam 3 petang, hari sama.

"Dalam dua serbuan ini, kami merampas pelbagai barangan termasuk komputer, kad akses, komputer riba, telefon bimbit dan router (penghala)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Mohamad Lazim berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati dua serbuan itu membabitkan dua sindiket berlainan yang aktif sejak enam bulan lalu.

"Modus operandi sindiket itu dipercayai merekrut individu dalam kalangan pengatur cara perisian dengan tawaran gaji antara RM5,000 hingga RM12,000.

"pengatur cara perisian ini berperanan menghasilkan perisian bagi laman sesawang perjudian dengan menyasarkan pembeli atau pemain di luar negara.

"Difahamkan, sindiket ini boleh mendapat keuntungan kira-kira RM50,000 sehari bagi setiap perisian yang dijual kepada pihak ketiga," katanya.

Beliau berkata, sindiket juga berselindung di sebalik syarikat sah yang menawarkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 'pekerjanya'.

"Sindiket itu menjadikan unit apartmen yang disewa di Jalan Tun Razak sebagai pejabat bagi pengatur cara perisian berkenaan bekerja di premis terbabit.

"Semakan dilakukan mendapati sembilan warga China yang ditahan dalam serbuan itu masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Hotline Polis Wangsa Maju 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:05 PM