Irwan Azman menunjukkan paras air yang menjejaskan kediamannya enam hari lalu. GAMBAR JOHARY INDAN
Irwan Azman menunjukkan paras air yang menjejaskan kediamannya enam hari lalu. GAMBAR JOHARY INDAN
Johary Indan


Tamparuli: Penduduk empat kampung di daerah ini menyifatkan banjir yang melanda enam hari lalu lebih buruk berbanding sebelumnya sehingga mereka gagal menyelamatkan harta benda.

Tinjauan mendapati Tambulaong, kampung paling teruk terjejas berbanding Nohirat, Kauluan dan Dangsangai apabila banyak rumah penduduk musnah, harta benda rosak, kenderaan ditenggelami air dan banjir lumpur.

Difahamkan, fenomena yang berlaku mengejut berpunca hujan lebat lebih empat jam itu turut menyebabkan penduduk terperangkap dalam rumah kerana tidak menjangka banjir akan berlaku.

Penduduk Kauluan, Irwan Azman, 45, berkata ketika kejadian dia gagal sampai rumah, apabila jalan masuk Kauluan dinaiki air hampir satu meter.

"Ketika itu, saya mula panik memikirkan isteri, dua anak dan ibu mentua terperangkap dalam rumah dengan keadaan paras air yang meningkat cepat.

"Dalam keadaan panik, saya cuba menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tuaran untuk mendapatkan bantuan menyelamat keluarga yang terperangkap dalam rumah.

"Syukur Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba tidak lama kemudian hasil maklumat diberikan PBSMM berjaya menyelamatkan keluarga saya," katanya.

Beliau mengakui keluarganya mengalami kerugian besar apabila banyak harta benda rosak, termasuk kenderaan yang ditenggelami air.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana keluarganya selamat daripada kejadian banjir terburuk pernah mereka alami di kampung itu selama ini.

Penduduk Tambulaong, Janecarr Yado, 40-an, bersyukur keluarganya selamat daripada fenomena menakutkan itu, walaupun rumah mereka hampir musnah dilanda banjir, tanah runtuh dan dihempap pokok tumbang.

"Alhamdulillah syukur kami sekeluarga sempat keluar dari rumah sebelum terkena tanah runtuh, menyebabkan gagal menyelamatkan harta benda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:16 AM