Fauziah Nawi bersama kereta Mitsubishi Xpander yang dimenangi.
Fauziah Nawi bersama kereta Mitsubishi Xpander yang dimenangi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Demi memenuhi impian memiliki kereta sendiri, pelakon, Fauziah Nawi, 69, sanggup mencuba nasib menyertai cabutan bertuah di Karnival Ekspresi @Finas yang berlangsung di Kompleks Finas, Hulu Kelang pada Oktober lalu.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang berlangsung pada 23 dan 24 Oktober lalu itu menawarkan hadiah sebuah kereta Proton Saga dan dua motosikal Modenas kepada pengunjung bertuah.

"Kalau nak dapat cabutan bertuah, kena beli barang berjumlah RM30. Saya beli dua barang tapi mereka bagi empat baucer cabutan. Saya cuba nasib kalau tak dapat kereta, dapat motosikal pun jadilah dan boleh jual.

"Malangnya saya tak dapat apa-apa. Selepas itu saya cerita kepada adik dan dia pujuk saya. Katanya Allah nak bagi yang lebih besar," katanya.

Kata-kata itu menjadi kenyataan apabila beberapa hari selepas itu Fauziah dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa 2022 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) pada 30 Oktober lalu.

Pengiktirafan itu menyaksikan dia menerima hadiah sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM100,000, wang tunai RM10,000 dan trofi.

"Macam tak percaya pun ada. Saya tak pernah beli kereta besar macam ini. Paling besar pun kereta jenis Proton Waja pada 2007. Itu kereta terbaik yang saya ada.

"Semua kawan-kawan artis saya gembira dengan pemberian ini. Maknanya harapan untuk mereka pun ada (untuk dapat pengiktirafan serupa).

"Allah cakap kalau dah rezeki, kita tak perlu risau. Saya rasa dengan ini ada harapan untuk semua orang. Saya percaya kalau kita buat kerja betul lama-lama orang nampak," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kereta itu di EON Auto Mart, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sudah lama berharap untuk memiliki kenderaan sendiri selepas kereta Proton Waja itu musnah terbakar akibat kerosakan fius empat tahun lalu.

"Namun pengurus saya, Adin bising. Katanya tak perlu sibuk nak beli kereta kerana selama ini mereka yang ambil dan hantar. Dah tua-tua begini tak payahlah nak buat pinjaman bank.

"Katanya lagi dah ada kereta boleh bawa ke? Tapi betul juga katanya kerana saya dah bertahun tak memandu. Biasa orang ambil dan hantar saya.

"Dengan adanya kereta ini senang nanti kerana pasukan saya tak perlu nak sewa van kalau ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Razak Bahman berkata, mereka bersyukur kerana berpeluang membantu artis veteran yang banyak berjasa kepada industri seni tanah air.

"Kami bersyukur dapat melaksanakan janji kepada ibu Fauziah Nawi. Memang agak terharu apabila beliau bercerita mengenai kesukaran yang dihadapi.

"Pemberian kami dapat meringankan beban yang ditanggungnya. Saya yakin kereta ini dapat memberi khidmat yang cemerlang buatnya.

"Sebagai syarikat korporat bila ada peluang kami akan pertimbangkan untuk bekerjasama lagi dengan penganjur ASA pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 8:05 PM