Tampil dalam program Vokal Mania, walau tewas Wafa gembira dapat tonjolkan bakat kepada peminat
Tampil dalam program Vokal Mania, walau tewas Wafa gembira dapat tonjolkan bakat kepada peminat
Ridzuan Abdul Rahman


PERJALANAN seni pelakon Wafariena Roslan, 25, kini sudah terbentang indah. Tawaran demi tawaran berlakon yang diterima menjadi bukti bintangnya semakin bersinar.

Tidak keterlaluan dikatakan Wafa sedang bergerak pantas meletakkan namanya sebaris dengan pelakon-pelakon sedia ada dalam industri seni tempatan.

Sikap rendah diri pelakon berasal dari Pulau Pinang yang rajin melayan pertanyaan peminat di media sosial ini juga membuatkan dia disayangi.

Terbaharu, Wafa kini tampil dalam program Vokal Mania terbitan TV3 yang mula bersiaran sejak Sabtu lalu.

Walaupun tewas, Wafa yang bergelar 'Rookie' gembira dapat membuktikan bakat nyanyiannya kepada peminat.

"Syukur kerana satu lagi impian saya tercapai. Walaupun saya bukan penyanyi profesional seperti penyanyi lain, sekurang-kurangnya saya boleh menyanyi. Setiap orang lain caranya dan setiap penyanyi ada identiti dan kelainan sendiri. Jadi saya bawakan dengan cara sendiri. Paling menggembirakan saya dapat 'battle' dengan salah seorang penyanyi pujaan saya, Lan Solo yang bergelar Idol. Malah, semua 'Rookie' takkan sangka dengan siapa mereka akan 'battle'," katanya.

Wafa yang pernah menghasilkan single berjudul Carilah Aku mengakui tidak kecewa tumpas di tangan

Lan.

WAFA bersama penyanyi Lan Solo dalam program Vokal Mania.
WAFA bersama penyanyi Lan Solo dalam program Vokal Mania.

"Kalah menang bukanlah isunya kerana saya anggap ini persembahan saya. Malah, saya bayangkan di depan saya ada 20,000 penonton menyaksikan saya bergandingan satu pentas dengan Lan Solo. Itu dah cukup menggembirakan.

"Ada komen positif dan negatif daripada juri tetap Misha Omar dan saya terima dengan hati terbuka. Tak kisah kerana yang penting saya boleh buktikan mampu melakukannya. Orang pun tahu saya sebenarnya boleh menyanyi kerana banyak yang mula kenal saya menerusi watak Nurul Ain dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2," katanya.

Sebagai pelakon yang mula dikenali ramai, Wafa tidak menafikan sering berdepan dengan gangguan daripada peminat nakal.

"Pengurus saya, Suzana sering diganggu orang yang tidak dikenali. Mereka sangka nombor yang tertera di Instagram itu nombor saya. Sebenarnya ia nombor untuk urusan membabitkan karier yang dikendalikan Suzana, Saya kasihankannya kerana dia perlu uruskan banyak kerja. Dia memang tertekan apabila dapat gangguan sebegitu," katanya.

Wafa juga mengambil pendekatan tidak mengendahkan sebarang mesej yang cuba menganggunya di laman sosial.

"Rasanya bukan artis sahaja, sesiapa pun akan alami benda yang sama iaitu kena ganggu dan dihujani mesej tak elok. Saya hanya abaikan dan tak layan. Apapun saya tak ambil pendekatan 'screenshoot' mesej ini dan tulis di Insta Story dengan niat nak malukan mereka. Tak bagus sebenarnya untuk saya aib orang. Itulah perangai saya sejak dulu. Saya dah biasa diganggu sebelum ini. Bukan sejak saya dah dikenali sebagai artis sahaja," katanya.

Antara drama lakonan Wafa yang bakal ditayangkan nanti ialah Pakmat Lif Dan Ajk (bergandingan dengan Joey Daud), Rindu Tak Bersayap (bergandingan dengan Ungku Hariz), Potong, Romantika 4 Hari 3 Malam dan Hidayah Bukan Milik Kita.

Menyentuh soal pasangan hidup atau kekasih, Wafa mengakui lebih selesa untuk fokus terhadap keluarga dan kerjaya terlebih dahulu.

"Kerjaya saya pun baharu nak bermula dan bukan mudah juga untuk berada pada tahap sekarang. Saya sebenarnya lebih suka menghabiskan masa untuk keluarga. Mereka sentiasa ada untuk saya. Kalau boleh, saya tunggu ibu carikan jodoh untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:00 AM