Najib   beramah mesra dengan orang ramai dan  pelajar pada majlis Bajet 2018 Bersama Rakyat, Belia dan Pelajar di UniMAP, Kampus Pauh Putra.
Najib beramah mesra dengan orang ramai dan pelajar pada majlis Bajet 2018 Bersama Rakyat, Belia dan Pelajar di UniMAP, Kampus Pauh Putra.
Embun Majid dan Muhamad Mustakim Ramli dan Aizat Sharif

Arau: “Saya tak sangka lukisan potret Perdana Menteri yang dilakar suka-suka dan sekadar mengisi masa lapang akhirnya dapat diserahkan sendiri kepada Datuk Seri Najib Razak.”

Itu luahan kegembiraan pelajar tahun tiga Diploma Pembuatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Sufi Suraya Halim, 21, selepas potret Najib yang dilukisnya menjadi pilihan universiti berkenaan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri di sini, semalam.

Menyifatkan ia sebagai satu penghargaan baginya, Sufi yang juga anak ketiga daripada empat beradik dari Alor Setar, Kedah itu berkata, potret Najib dilukis menggunakan kemudahan telefon pintarnya menerusi aplikasi Sketch Book.

“Saya memang suka melukis dan lukisan potret Perdana Menteri itu dilukis untuk mengisi masa lapang.

“Namun apabila sketch saya itu diketahui pentadbiran universiti, maka mereka meminta saya melukis potret Perdana Menteri di mana ia diserahkan sendiri kepada beliau,” katanya selepas Program Bajet Rakyat 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di UniMAP di kampus utama UniMAP di sini, semalam.

Katanya, selalunya dia mengambil masa antara enam hingga tujuh jam untuk menyiapkan potret menerusi telefon pintarnya, namun bagi lukisan Datuk Seri Najib dia memperuntukkan dua hari.

“Lukisan itu memang saya lukis berpandukan gambar asal Datuk Seri Najib dan saya perlu fokus dan berhati-hati melukis gambarnya kerana tidak mahu lukisan berkenaan tidak sepadan dengan warna serta bentuk wajahnya.

“Apabila ia siap, pentadbiran universiti bersetuju mengambil lukisan itu untuk diberikan kepada Perdana Menteri. Saya berasa teruja dan gembira kerana usaha saya ini membuahkan hasil,” katanya yang bercita-cita menjadi usahawan dan pelukis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:25 AM