Oleh Nurshafika Suhaimi

Temerloh: Berbekalkan modal kira-kira RM 10,000, Mohd Huzaimi Hashim, 47, dan rakan kongsi Ridzwan Alias, 36, tekad berhenti kerja untuk memulakan perniagaan kedai dobi karpet TOK Cuci.

Huzaimi yang sebelum ini pernah menjadi pengurus bank selama hampir 21 tahun langsung tidak menyangka usahanya membuka kedai dobi karpet ini akhirnya membuahkan hasil.

Sementara itu, rakan kongsi, Ridzwan yang pernah bekerja dalam industri minyak dan gas, kini menjadi orang penting dalam pengurusan perniagaan TOK Cuci. 

"Perniagaan kami ditubuhkan pada tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 baru bermula dan pada peringkat awal servis hanya dilakukan dari rumah ke rumah saja.

"Berbekalkan modal RM10,000, kami mampu membeli sebuah mesin pengering karpet dan mesin pencuci karpet, sofa, tilam, kusyen dan kereta serta alatan untuk cucian karpet secara profesional," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Selepas setahun, akhirnya perniagaan TOK Cuci berjaya menjana keuntungan sebanyak RM45,000 untuk dijadikan modal bagi menyewa sebuah kedai berhampiran bandar Temerloh.

Image

Sama seperti perniagaan lain, Huzaimi akui berdepan dengan cabaran dan rintangan pada peringkat awal perniagaan.

"Ketika kami ingin membuka kedai fizikal yg pertama, kami diuji banjir besar di Temerloh sehingga menyebabkan kedai kami terkepung tanpa sebarang akses laluan.

"Kami hanya mampu berdoa dan bertawakal kepada Allah menyelamatkan untuk menyelamatkan mesin yang baru dibeli," katanya.

Bagaimanapun, semuanya selamat, bahkan Huzaimi bersyukur ketika pandemik, perniagaan TOK Cuci tidak terjejas seperti yang lain. 

"Kami tidak dapat kebenaran beroperasi tetapi alhamdulillah kami dapat menjadi 'frontliner' ketika itu kerana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Temerloh membenarkan kami untuk menjalankan perniagaan sanitasi dan pembasmian kuman," katanya.

Dalam pada itu, Huzaimi sempat memberi nasihat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di luar sana yang ingin memulakan perniagaan untuk bermula dari kecil dahulu.

"Jangan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan menambah pelaburan demi mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan yang baru.

"Pastikan bina pasukan yang mantap, tatacara pengendalian piawai (SOP) diperkemaskan, aliran wang tunai dijaga rapi dan operasi lebih cekap sebelum berhasrat untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Ikuti akaun media sosial TOK Cuci di Facebook, TikTok dan Instagram.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.

Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:06 AM