DAIKIN menetapkan sasaran aspirasi pelepasan gas rumah hijau pada kadar sifar menjelang 2050 merentasi seluruh rantaian nilai perniagaannya bagi menangani isu perubahan iklim dan melindungi alam sekitar.
DAIKIN menetapkan sasaran aspirasi pelepasan gas rumah hijau pada kadar sifar menjelang 2050 merentasi seluruh rantaian nilai perniagaannya bagi menangani isu perubahan iklim dan melindungi alam sekitar.
Suliati Asri


Bahan penyejuk (refrigerant) dalam penyaman udara adalah elemen terpenting dalam proses penyamanan udara berlaku.

Keupayaannya mengubah suhu persekitaran dengan cepat membolehkan pengguna kekal selesa dengan penyejukan atau pemanasan di rumah, pejabat dan bangunan komersial.

Gas flurokarbon yang terdapat di dalam bahan penyejuk yang dilepaskan secara meluas ke atmosfera akan menyumbang kepada pemanasan global.

Namun, pengisian semula gas ini diperlukan apabila sistem penyejuk kehabisan bahan penyejuk.

Bagaimanapun, dengan langkah-langkah pemulihan, pemulangan dan penggunaan semula bahan penyejuk ini, pengawasan bagi pembuangan sisa gas dapat dilakukan selain mengawal pengeluaran bahan penyejuk yang baharu.

Tekad memenuhi permintaan global untuk persekitaran udara yang bersih dan selesa dalam sektor penyediaan perkhidmatan solusi pengudaraan, Daikin turut berinovasi dalam mengutamakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar secara global.

Menerusi Visi Alam Sekitar Daikin 2050, Daikin menetapkan sasaran aspirasi pelepasan gas rumah hijau pada kadar sifar menjelang 2050 merentasi seluruh rantaian nilai perniagaannya bagi menangani isu perubahan iklim dan melindungi alam sekitar.

Sejajar dengan Visi Alam Sekitar Daikin 2050 itu, Daikin Malaysia memacu inisiatif pemulihan bahan penyejuk bagi melindungi alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon di Malaysia.

Daikin Malaysia bekerjasama dengan pusat pemulihan dan pemulangan semula bahan penyejuk bagi mewujudkan satu ekosistem bagi mengurus sisa bahan pendingin dengan mengumpul, membersihkan dan memulihkannya kepada kualiti 'seperti baru' untuk digunakan semula, manakala bagi unit lama ia akan dirawat dan dilupuskan dengan cermat.

Bagi merasmikan inisiatif ini, Daikin Malaysia melancarkan projek perintis kempen 'Selamatkan Bumi: Pertukaran Demi Generasi Masa Depan'.

Daikin Malaysia, menerusi rakan kongsinya Daikin Malaysia Sales and Service Sdn Bhd (DMSS) dan Acson Malaysia Sales and Service Sdn Bhd (AMSS) akan melakukan pengumpulan bahan penyejuk terpakai daripada pengguna menerusi perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara.

Juruteknik pemasangan akan menghantar bahan penyejuk terpakai serta unit penyaman udara yang lama untuk dikendalikan dan dikitar semula di pusat pengumpulan Daikin di Petaling Jaya, Selangor.

Di sini, bahan penyejuk yang dikumpulkan akan dibersihkan dan dirawat mengikut piawaian ARI-700 (ketulenan 99.5 peratus) oleh pusat pemprosesan berlesen.

Manakala bagi unit penyaman udara yang lama, akan dihantar ke pusat kitar semula yang berlesen bagi memastikan pengurusan sisa elektronik yang mapan.

Inisiatif ini dilancarkan di Lembah Klang sebagai projek perintis dan akan diperluaskan lagi merangkumi negeri-negeri lain di Malaysia menerusi penubuhan pusat pengumpulan yang baharu pada masa hadapan.

Dalam usaha mempromosi dan memupuk amalan hijau, DMSS dan AMSS akan mengadakan sesi latihan untuk juruteknik pemasangan bagi membekalkan mereka pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi pengendalian bahan penyejuk dengan betul.

Pendekatan proaktif ini penting bagi mengelakkan pengendalian bahan penyejuk yang tidak betul sekali gus boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar.

Dengan memperkenalkan inisiatif ini, Daikin Malaysia komited untuk menerajui industri melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menjadi teladan dalam penjagaan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 11:09 AM