Muhamaad Razis Ismail


Sifat arang yang 'berdebu' dan mudah comot, menyebabkan tidak ramai pelukis terutama dalam kalangan wanita menjadikan medium itu sebagai pilihan untuk menghasilkan lukisan.

Apatah lagi warna arang yang hitam dan 'kurang mendengar kata' memberi kesukaran kepada pelukis untuk menterjemahkan idea dalam bentuk karya seni yang diinginkan.

Berbeza dengan ibu kepada dua cahaya mata ini yang gemarkan cabaran dengan menjadikan arang sebagai medium utama dalam menghasilkan kebanyakan lukisannya.

Kelainan yang ditampilkan Huda Mazli, 43, menjadikannya sebagai antara pelukis yang sedang membina nama di negara ini.

Jadi, tidak hairanlah dia berjaya menyertai pameran seni lukis dan acara-acara seni sejak 2022 serta dijemput menjadi panel jemputan di Kasel Talk 2022 anjuran Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pencapaian paling bermakna bagi dirinya apabila berjaya memiliki studio sendiri yang dinamakan Studio gARANG di Damansara Damai pada Julai 2022.

Huda berkata, cabaran menghasilkan karya dengan arang menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk memperbanyakkan latihan bagi memperbaiki kemahiran melukis.

Katanya, kelebihan menggunakan arang, walaupun hanya hitam dan putih namun impak visualnya sangat kuat.

LUKISAN arang bertajuk Bukan Kidal.
LUKISAN arang bertajuk Bukan Kidal.

"Mungkin tidak ramai gemar bereksperimentasi dengan medium ini, lebih-lebih lagi perempuan.

"Antara faktor saya cenderung dengan medium arang kerana saya antara peminat warna hitam dan putih. Selain itu, saya sukakan karakter arang yang mampu menghasilkan karya yang unik, klasik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri," katanya.

Pada masa sana, arang dilihat menepati caranya melukis yang gemarkan 'rough strokes' supaya karya nampak 'rugged' dan tidak nampak terkawal serta terlalu berhati-hati.

"Sungguh pun comot, biarlah comot berseni. Saya suka melakar secara spontan, apa yang ada dalam diri dan emosi pada ketika itu, diluahkan dengan contengan arang atas kanvas atau kertas.

"Tambahan pula, saya rasa mungkin pelukis wanita yang menggunakan medium arang sebagai medium utama agak kurang di negara ini. Jadi apa salahnya kalau saya cuba buktikan kemampuan wanita," katanya.

Menurutnya, lukisan pertama bersaiz besar menggunakan medium arang bertajuk Gelap adalah karya seni yang paling sukar dihasilkan.

"Lukisan figura yang menggambarkan seorang wanita yang sedang menutup sebahagian wajahnya dengan kedua-dua tangan sambil memejam mata. Saya namakan wanita itu sebagai Rozita yang diperoleh secara spontan.

"Karya seni itu amat istimewa bagi saya kerana ia pernah beberapa kali menyertai pameran dan jarang menghampakan apabila menjadi perhatian ramai," katanya.

HUDA menyukai karakter arang yang mampu menghasilkan karya unik, klasik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
HUDA menyukai karakter arang yang mampu menghasilkan karya unik, klasik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Mengimbau kembali pembabitan sebagai pelukis secara sepenuh masa bermula ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan pekerjaannya sebagai pereka landskap bebas terjejas.

"Keperluan berkurung di rumah membuatkan saya terfikir untuk melukis secara serius. Pada awal 2021, saya mulakan langkah pertama menjadikan 'sketchbook' sebagai peneman utama untuk mengasah kembali bakat melukis.

"Pembabitan saya dalam beberapa kumpulan seni lukis di media sosial yang sangat membantu dan memberi impak yang besar kepada saya. Pada masa sama saya bersyukur ada pelukis tersohor yang sentiasa menjadi pembimbing secara tidak langsung," katanya.

Jelasnya, dia bermula dengan menjadi pelukis potret hitam putih menggunakan medium pensil graphite.

"Lakaran demi lakaran dihasilkan untuk memenuhi tempahan potret yang semakin bertambah sehingga suatu ketika saya diminta menghasilkan potret arang atas kanvas bersaiz besar buat pertama kalinya.

HUDA menitikberatkan subjek dan cerita dalam setiap lukisan dihasilkan.
HUDA menitikberatkan subjek dan cerita dalam setiap lukisan dihasilkan.

"Saya cabar diri dengan berpegang kepada kata-kata bahawa setiap apa yang kita buat, semuanya ada kali pertama. Saya berjaya hasilkan potret arang pertama atas kanvas dan bermula dari situlah kecintaan saya terhadap arang bermula," katanya.

Baginya, untuk menjadi pelukis wanita yang baik itu bukan bergantung terhadap bakat semata-mata.

"Untuk pergi lebih jauh, perlu ada disiplin, berani mencuba, dan jadi diri sendiri tanpa terikut cara orang lain.

"Pelukis perlu mencari identiti sendiri dalam seni lukis dan cubalah supaya jangan jadi yang biasa. Namun pada masa sama, sikap, adab dan penampilan perlu dijaga supaya bakat serta personaliti itu bergerak seiring," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, anak jati Batu Pahat, Johor ini mahu meletakkan karya arang terutama figura pada satu aras dan kelasnya yang tersendiri di negara ini.

"Hitam putih tidak harus terpinggir dan perlu berada sama aras dengan warna warni seni lukis.

"Sungguhpun masih baharu, saya ingin ubah persepsi masyarakat yang rata-ratanya menganggap lukisan figura hitam putih itu ada unsur negatif. Hitam itu bukankah cuma warna? Nilai artistik itu yang lebih kita mahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 7:00 AM