Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Keputusan salah dalam membeli kereta idaman diingini menyebabkan seorang individu terpaksa membuat penstrukturan semula kewangannya.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 26, berkata dia membeli kereta Honda Civic berharga lebih RM100,000 semata-mata mahu mendapatkan perhatian rakan-rakannya.

"Saya ingat dengan kita beli kereta Honda Civic ini, dapatlah kita tunjuk kepada rakan lain.

"Tapi sebaliknya berlaku. Baru saya sedar selepas saya beli kereta, ia menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung hutang bulanan lain," katanya.

Mengulas lanjut katanya, faktor utama dia tidak mampu untuk menanggung hutang sedia ada adalah disebabkan gaji bulanan yang diperolehinya hanya kira-kira RM4,000.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, berkata pendapatannya tidak mampu menampung bil-bil lain selain bayaran kereta yang disifatkannya membebankan.

"Gaji saya sekitar RM4,000 sahaja. Jadi, saya ingatkan dengan membeli kereta berharga lebih RM100,000 itu tak mengapa. Tapi disebabkan saya tinggal di Kuala Lumpur, gaji itu sebenarnya tak setimpal dengan kereta yang saya beli.

"Ini kerana kos-kos lain setiap sebulan yang saya perlu bayar seperti sewa rumah, bayaran tempat letak kenderaan, insurans diri, tol dan makan minum.

"Selain itu, saya juga kena bayar insurans kereta, cukai jalan dan servis kereta yang mahal. Duit gaji sebenarnya tak cukup," katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi apabila dia turut menggunakan kad kredit untuk menanggung bayaran hutang bulanan sedia ada.

"Ada kalanya saya tak mampu nak bayar hutang itu. Bila saya tak mampu bayar, saya guna kad kredit pula untuk tampung belanja bulanan.

"Saya rasa inilah keputusan salah menyebabkan saya terpaksa membuat penstrukturan semula hutang," katanya.

Struktur semula hutang majlis kahwin

Seorang pekerja swasta mendakwa terpaksa membuat penstrukturan semula hutang tahun lalu kerana membuat pinjaman peribadi bagi majlis perkahwinannya.

Individu itu yang mahu dikenali sebagai Azizul, 30, berkata dia tidak mempunyai pilihan kecuali dengan membuat pinjaman peribadi berjumlah RM35,000 bagi menanggung perbelanjaan hari bahagianya.

"Saya nak berkahwin dalam masa setahun. Dengan saya tidak mempunyai simpanan kewangan, apa pilihan saya ada?

"Gaji bulanan yang saya perolehi kira-kira RM2,850 sahaja. Bagaimana pula dengan kos bulanan yang perlu ditanggung?

"Contohnya seperti kos sewa rumah, kereta, bil telefon dan makan minum," katanya.

Lelaki yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi.

"Saya tahu keputusan saya buat sebenarnya salah. Sepatutnya saya rajin menabung. Kalau saya rajin menabung sedikit demi sedikit, saya rasa cukup untuk perbelanjaan itu.

"Selain itu, duit yang ada boleh digunakan jika berlaku apa-apa perkara atau bagi tujuan kecemasan," katanya.

Katanya, pengurusan kewangan kini menyebabkan dirinya amat berhati-hati pada masa hadapan.

"Untuk masa hadapan, saya harap perkara macam ini tidak berlaku lagi pada diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:01 PM