Pelakon, Ruhainies pada majlis sambutan ulang tahun kelahiranya bersama peminat. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon, Ruhainies pada majlis sambutan ulang tahun kelahiranya bersama peminat. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies mengakui kehidupan sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti adalah untuk memberi kesenangan kepada kedua ibu bapanya.

Bakal menjengah usia 30 tahun esok, Ruhainies berkata, dia bersyukur apabila dapat berbakti kepada orang tuanya dengan memberi segala kesenangan untuk mereka.

"Saya sangat rapat dengan keluarga. Ke mana saya pergi, ahli keluarga pasti ada bersama saya. Sepanjang 30 tahun saya hidup, pastinya pernah melalui zaman susah. Saya percaya setiap orang pun ada zaman jatuh bangun bersama keluarga.

"Saya dah berjanji dengan diri sendiri, jika keluarga saya memerlukan, saya kena ada untuk mereka, tak kiralah dari segi sokongan moral atau kewangan.

"Sebab itu saya bekerja keras kerana tanggungjawab itu ada pada saya. Tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya memang fokus untuk mencari rezeki kerana saya mahu membantu.

"Mana tahu jika ada situasi yang tidak mengizinkan berlaku, saya ada untuk mereka. Saya tak boleh banyak rehat sangat, biarlah saya bekerja kuat kerana jika ada apa-apa yang terjadi kepada keluarga, saya ada," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir yang dianjurkan oleh kelab peminatnya di Riyaaz Event Space, Puchong, semalam.

Menurut Ruhainies, sempena menyambut ulang tahun ke-30 dia mahu terus menggembirakan ahli keluarganya.

"Sempena hari jadi, saya mahu terus membuatkan keluarga saya gembira. Saya masih ingat sewaktu awal bekerja, ibu dan ayah saya berhasrat nak menunaikan haji. Jadi saya kerja keras untuk realisasikan apa yang mereka inginkan.

"Saya bersyukur dapat menunaikan impian mereka untuk ke sana pada 2019. Biarpun saya tak pergi, saya rasa itu kepuasan utama saya. Rasa gembira itu sangat berbeza dan selepas itu, rezeki saya semakin murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:30 PM