Ifa Raziah
Ifa Raziah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya bersikap neutral kerana kedua-duanya (Ruhainies & Bella Astillah) adalah adik kesayangan saya," kata penyanyi, Ifa Raziah yang menerima kecaman hebat daripada orang ramai sehingga festival membeli-belah anjurannya, Starvendors menjadi sasaran boikot susulan pembabitan Ruhainies pada acara itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Mac ini.

Rata-rata netizen menyelar tindakan Ifa yang masih mengekalkan Ruhainies sebagai salah seorang selebriti yang bakal terbabit pada acaranya walaupun pelakon itu terpalit dengan kontroversi disyaki berkhalwat dengan pelakon, Aliff Aziz, Sabtu lalu.

Ifa berkata, sebagai penganjur dia hanya memberi peluang kepada rakan-rakan selebriti termasuk Ruhainies dan Bella Astillah untuk berniaga dan tidak mencampuri urusan peribadi mereka.

"Janganlah boikot, saya tak buat salah apa pun. Saya tidak menyakiti hati sesiapa sebaliknya memberi peluang kepada orang ramai untuk berniaga saja.

"Saya muat naik video promosi Ruhainies dan Bella di media sosial, tapi ada pula peminat tegar yang marah dan minta saya gugurkan nama Ruhainies. Tak bolehlah saya buat begitu.

"Saya sudah lama kenal sejak mereka mula mencari rezeki dalam bidang seni dan berniaga di festival saya tahun ini.

"Jadi takkan disebabkan isu peribadi mereka, ada peminat yang tak suka pada Ruhainies nak boikot festival saya. Tak adillah, kasihan artis-artis lain yang nak meniaga termasuk vendor yang mengambil bahagian tahun ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ifa, dia memohon orang ramai untuk berhenti mengecam atau memboikot festival miliknya itu sebaliknya mendoakan yang terbaik untuk kedua-dua selebriti itu.

"Saya mohon jasa baik anda semua untuk mendoakan yang terbaik daripada terus nak mengecam dan memburukkan lagi keadaan .

"Apa kata kita mendoakan semoga isu ini dapat dipulihkan dengan segera walaupun berita ini amat menyakitkan hati semua pihak.

"Saya juga harap mereka dapat selesaikan perkara ini dalam keadaan yang tenang walaupun bukan dalam situasi yang baik tapi seelok-eloknya dibawa berbincang ke tempat yang dapat mengadili kedua-dua belah pihak," katanya.

Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu disyaki terbabit dalam kes khalwat bersama Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Sabtu lalu.

Kelmarin, Bella hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta untuk sebutan kali pertama berhubung permohonan perceraian yang difailkan terhadap Aliff, dua hari sebelumnya.

Bagaimanapun, kelibat Aliff tidak kelihatan di mahkamah untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:28 PM