RUHAINIES bersyukur terima maklum balas positif daripada penonton drama Cukup Derita Itu. FOTO Arkib NSTP
RUHAINIES bersyukur terima maklum balas positif daripada penonton drama Cukup Derita Itu. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


BERPELUANG menyelami kehidupan sebagai penoreh getah, pelakon Ruhainies mengakui teruja menjayakan watak sebagai Ellani dalam drama bersiri Cukup Derita Itu yang kini sedang ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Ruhainies berkata, antara pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mempelajari cara menoreh getah.

"Ini adalah pengalaman pertama saya bawa watak sebagai penoreh getah. Saya akui watak Ellani sangat sukar dan mencabar terutama ketika menjayakan babak di ladang getah.

"Pengarah Along Kamaluddin juga ambil inisiatif dengan mengupah pekerja sebenar untuk ajar cara toreh getah dengan betul.

"Nak pegang pisau toreh itu tak sama dengan pisau biasa. Tambahan pula, pokok getah sangat sensitif, tak boleh main toreh saja dan kena berhati-hati. Mungkin ramai tak tahu, masa buat babak di ladang itu, saya ikat ubat nyamuk dekat badan seharian sepanjang penggambaran. Seksa jugalah sebab saya memang alah pada asap," katanya.

Menurut Ruhainies, ketika menjayakan watak itu, dia turut berdepan detik cemas apabila mengalami kecederaan akibat digigit monyet yang datang secara mengejut.

"Pada awalnya monyet jinak itu okey saja, tapi mungkin kerana terkejut, ia menjadi agresif lalu menggigit lengan saya. Setakat ini tiada apa-apa yang serius. Saya sudah dapatkan rawatan dan alhamdulillah, semuanya okey," katanya.

Dalam pada itu, Ruhainies bersyukur apabila watak yang dibawakan mendapat pujian ramai dan rata-rata terkejut dengan watak berat yang dibawakan.

RUHAINIES teruja bawa watak Ellani.
RUHAINIES teruja bawa watak Ellani.

"Sebelum ini ada cakap-cakap yang kata saya mesti tak berani untuk jayakan watak sebagai gadis yang bekerja dan hidup di desa. Inilah masanya untuk saya buktikan kemampuan.

"Alhamdulillah, maklum balas yang diterima penonton pun sangat positif. Apabila mereka gembira, buatkan saya lebih semangat untuk berikan yang terbaik. Tuah saya juga dapat bersama dalam naskhah drama yang bagus seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:17 AM