Najwa Latif
Najwa Latif
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Selepas empat tahun berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Petaling Jaya, Selangor, penyanyi Najwa Latif akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sejak Ogos lalu.

Najwa ketika dihubungi Harian Metro berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat tawaran baharu di sebuah universiti yang akan dikongsikan tidak lama lagi.

"Saya berhenti kerja sebab dapat peluang kerja yang lebih baik. Saya masih menjadi pensyarah tapi berbeza universiti saja.

"Tak sangka saya sudah bekerja di universiti berkenaan selama empat tahun. Tipulah kalau tidak ada rasa sayang.

"Universiti itu adalah tempat saya belajar dan syarikat pertama saya bekerja. Cuma bila dapat peluang baharu, saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk saya keluar daripada zon selesa.

"Selain itu, saya juga nak menimba ilmu dan pengalaman di tempat baru," katanya.

Najwa yang kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah turut berkongsi rasa teruja apabila berpeluang berada di sana buat kali pertama.

"Saya di sini bersama keluarga termasuk anak saudara saya. Rasa seronok sangat sebab dah lama teringin nak jejakkan kaki ke Tanah Suci. Alhamdulillah rezeki kami satu keluarga dapat pergi sama sama tahun ni.

"Saya akan berada di sini selama dua minggu sehingga minggu depan. Saya rasa tenang dan ada satu perasaan yang berbeza apabila dapat lihat ramai orang berkejar-kejar nak pergi masjid walaupun waktu Subuh.

"Alhamdulillah saya dapat ke Raudah di Masjid Nabawi beberapa kali. Setiap kali di Raudah rasa sebak sangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 2:58 PM