RUHAINIES akui babak mesra dengan Zul hanya lakonan untuk drama dibintangi mereka.
RUHAINIES akui babak mesra dengan Zul hanya lakonan untuk drama dibintangi mereka.
Najiy Jefri


Kemesraan pelakon, Zul Ariffin dan Ruhainies ketika membintangi drama Wifi Sebelah Rumah mengundang pelbagai tanda tanya apabila pasangan itu memuat naik beberapa aksi romantis mereka di sosial media masing-masing.

Melihat kepada foto mesra dikongsikan itu, ada peminat menyukai gelagat mereka dan tidak kurang juga ada yang berasa 'jelek' melihat aksi terlebih mesra yang dianggap keterlaluan.

Bagaimanapun, kedua-dua figura sensasi ini sekadar menjayakan watak komedi dalam drama 16 episod lakonan mereka yang diarahkan Shuhaimi Zulkefli dengan sebaik mungkin.

Ruhainies berkata, tiada istilah bercinta atau mempunyai hubungan serius di antaranya dan Zul. Namun, katanya apa yang diperlihatkan itu hanya mempromosikan drama terbabit.

"Kami hanya jalankan tanggungjawab untuk mempromosikan drama Wifi Sebelah Rumah yang akan ditayangkan di slot istimewa di TV3.

"Kami memang rapat di set penggambaran dan saya akui selesa bergandingan dengannya. Zul sebenarnya seorang lelaki sangat baik dan tidak lokek berkongsi ilmu dalam bidang lakonan.

AZAM tahun baharu, Ruhainies ingin fokus pada perniagaan.
AZAM tahun baharu, Ruhainies ingin fokus pada perniagaan.

"Jadi, ini salah satu sebab saya seronok untuk ke lokasi penggambaran tanpa tekanan. Malah, kami juga berhubung sebagai kawan di luar lokasi penggambaran.

"Hingga sampai hari akhir penggambaran, saya rasa kenapa terlalu cepat masa berlalu. Saya seronok bekerja dengan Zul dan keseluruhan tenaga produksi," katanya.

Tambah Ruhainies, pengalaman kali pertama bekerja dengan Zul cukup bermakna buatnya.

"Sebenarnya saya tak tahu yang saya akan bergandingan dengan Zul. Namun ketika dimaklumkan, saya akui terkejut dan teruja.

"Pengalaman bekerja dengan Zul sangat mudah dan selesa. Kami begitu cepat mencipta keserasian. Bayangkan dalam tempoh dua hari, kami sudah dapat keserasian. Insya-Allah kami ada projek lain bersama," katanya.

Ditanya juga mengenai rangkuman pengalamannya sepanjang tahun ini, Ruhainies memberitahu, di sebalik dugaan Covid-19 yang mencabar dia bersyukur rezeki dalam dunia lakonan masih ada.

"Alhamdulillah saya percaya setiap orang mesti menghadapi cabaran dan kesukaran atas apa yang berlaku ketika ini. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tawaran lakonan masih tidak putus.

"Meskipun terpaksa mengikut peraturan penggambaran yang ditetapkan kerajaan, kami masih berpeluang berkarya dan mencari rezeki. Namun keselamatan orang tersayang perlu dijaga demi memastikan semua berada dalam keadaan baik," katanya.

Mahu aktif dalam perniagaan

Beralih mengenai azam baharu 2021, wanita kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, ada beberapa perancangan yang ingin dilakukannya pada tahun depan.

"Selain usia yang makin meningkat, ada banyak perkara yang saya tak dapat capai tahun ini sebab Covid-19 dan saya nak realisasikannya pada tahun depan.

TAK lokek ilmu, Ruhainies seronok dan selesa bekerja dengan Zul.
TAK lokek ilmu, Ruhainies seronok dan selesa bekerja dengan Zul.

"Ada banyak sebenarnya perancangan yang saya nak buat. Antara perkara itu, saya nak aktif dalam bidang perniagaan pada tahun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ruhainies berkata, dia kini sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Roh 100 Hari.

Apapun, Ruhainies turut mengambil peluang mengucapkan selamat tahun baharu kepada pemimat yang sentiasa menyokongnya. Katanya, dia sentiasa menghargai segala sokongan diberikan.

Ruhainies juga memaklumkan semoga kedatangan tahun baharu ini akan membawa sinar lebih baik buat kita semua. Katanya, dia yakin setiap ujian daripada Allah itu, pasti ada hikmahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:00 AM