BANGUNAN Finas.
BANGUNAN Finas.
Ridzuan Abdul Rahman


 Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan bahawa penguatkuasaan garis panduan untuk semua kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem (LPF) di Kementerian Dalam Negeri.

   Perkara ini dijelaskan oleh Pengerusinya, Zurainah Musa yang mengulas kebimbangan Pertubuhan United Sikhs Malaysia bahawa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mempunyai komponen fiksyen yang mungkin mencetuskan salah faham agama dan perkauman.

   "Finas memberi sokongan dan galakan iaitu Dana Kandungan Digital (DKD) serta penyediaan perkhidmatan pasca produksi yang kondusif untuk pembangunan filem tersebut.

   "Finas tidak akan menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak atau individu untuk mengeluar dan menerbitkan hasil karya seni mereka sepertimana yang dikuatkuasakan dalam Akta 244 dan pematuhan kepada perundangan kerajaan Malaysia yang berkuat kuasa," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan. 

   Dalam masa sama, sebagai badan peneraju industri perfileman negara, Finas menyeru agar penggiat industri kreatif turut peka terhadap sensitiviti penonton di negara ini yang kaya dengan budaya dan agama sejajar dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

   Persatuan Sikh Malaysia mendakwa mereka kekesalan berhubung watak askar British daripada kaum ity yang dikatakan boleh mewujudkan salah faham terhadap agama dan kaum dalam negara dipaparkan menerusi filem ini. 

    Mereka kecewa apabila filem terbabit mempamerkan kaum dan agama lain seperti Sikh sebagai penjahat.

   

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:32 PM