Zed Zaidi.
Zed Zaidi.
Ridzuan Abdul Rahman

 

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik pelantikan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid sebagai Pengerusi baharu 

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Presiden Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim sebagai timbalannya.

   Presidennya, Zed Zaidi mengakui bersyukur dengan pelantikan itu, namun mengharapkan agar kedua-duanya mesra Badan Bukan Kerajaan (NGO).

   "Mereka perlu tampil dengan satu rancangan bagi pihak industri. Bagaimanapun, apa saja perancangan untuk industri melalui FINAS kini perlulah membabitkan NGO yang dekat dengan mereka. 

   "Itu yang paling utama kerana apabila pengerusi dan timbalan ini mesra NGO, pelbagai maklumat dari akar umbi akan diberikan kepada mereka.

   "Pandangan yang lebih bernas menerusi akar umbi daripada persatuan-persatuan ini akan memberi sedikit sebanyak input untuk mereka buat keputusan yang positif," katanya. 

   Menurut Zed, semua input yang diberikan perlu diambil kira supaya FINAS dapat menghasilkan kerja dengan baik dan lebih cekap serta apa sahaja dasar yang dibuat mereka tidak dilihat sebagai syok sendiri. 

   "Terima kasih Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah kerana mendengar denyut nadi persatuan-persatuan ini," katanya.

   Mengulas berkenaan isu kroni atau lantikan politik serta salahguna kuasa, Zed berkata, ia bukanlah isu atau persoalan besar kerana Seniman ada cara untuk meneutralkan keadaan.

   "Sebelum ini pun berlaku isu kroni juga dan terdapat orang seni dilantik ke jawatan ini.

   "Orang takut dia guna salahguna kuasa, jadi persatuan akan menjadi semak dan imbang untuk setiap tindakan pengerusi dan timbalannya nanti. 

   "Persatuan tak akan berdiam diri dan akan terus bersuara kalau berasakan perkara itu tak memberikan kebaikan industri dan mementingkan kepentingan peribadi," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 7:09 PM