Ahmad Ibrahim
Ahmad Ibrahim
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menasihatkan agar Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, tidak menebang sepokok durian apabila buahnya hanya busuk sebiji.

   Ahmad atau dikenali sebagai Mat London juga menyarankan Fahmi mengkaji dan menyelidik latar belakang ahli lembaga Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) sama ada mempunyai kepentingan politik atau sebaliknya sekiranya mahu melantik yang baru.

   "Inilah sepatutnya dilakukan oleh seorang Menteri yang tuntas dan bijaksana. Betul apa yang disarankan oleh Perdana Menteri agar ambil mereka yang berkualiti tapi kenalah buat pemilihan.

   "Empat kami dalam ahli lembaga Finas adalah yang berwibawa dan berwawasan. Kami punyai perancangan masa depan untuk bangunkan industri.

   "Namun khidmat kami ditamatkan dalam tempoh belum setahun berkhidmat," katanya kepada Harian Metro. 

  Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, enam ahli lembaganya iaitu Ahmad, Datuk A. Aida, Zed Zaidi, Shures Ratnakrishnan, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Adam Ham Kou Kee ditamatkan perkhidmatan biarpun belum setahun berkhidmat dengan mereka. 

  Mat London berkata, mereka mempunyai kredibiliti masing-masing dalam seni dan bukanlah lantikan politik.

   "Kami punyai perancangan masa depan untuk bangunkan industri. Selain itu, kami juga nak bantu CEO yang ada sekarang untuk meneruskan visinya. 

   "Itulah kelebihannya. Semua orang tahu saya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dari dulu, sekarang hingga selama-lamanya. 

   "Saya tiada syarikat atau meminjam dana Finas. Saya berjuang  semata-mata untuk industri dan kepentingan industri," katanya.

   Dia turut meminta Fahmi memilih ahli lembaga yang aktif mengetahui berkenaan pengurusan Finas dan pengetahuan filem selepas ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 8:53 PM