Ayda Jebat dan Nabil Mahir.
Ayda Jebat dan Nabil Mahir.
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Bagi memastikan seluruh ahli keluarganya terhindar daripada wabak Covid-19 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, penyanyi Ayda Jebat memaklumkan setiap ahli keluarga serta saudara-mara yang mengunjungi rumah mereka perlu melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 terlebih dahulu. 

Ayda berkata, walaupun negara sudah menuju fasa endemik, tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga. 

"Setiap saudara-mara yang datang berkunjung ke rumah, kami minta mereka lakukan ujian saringan kendiri terlebih dahulu. Kemudian mereka perlu hantar keputusan dalam kumpulan WhatsApp dengan sertakan nama dan tarikh. 

"Malah, saya pun kalau nak ke rumah mak, saya satu keluarga semua akan buat ujian saringan barulah kami akan berjumpa. Ini adalah perkara wajib yang kami tetapkan sempena Syawal tahun ini.

"Lantaklah apa orang nak cakap, tapi ini syarat yang saya dan Nabil tetapkan demi keselamatan semua," katanya. 

Menurut Ayda, biarpun teruja menyambut Syawal bersama puteri tercintanya, Ana Nayla buat kali pertama, namun persiapan raya mereka dilakukan secara sederhana. 

"Baju raya kami tahun ini hanya satu pasang saja. Nayla pun satu pasang sebab dia tidak suka pakai baju kurung. 

"Saya dan Nabil tak beria pun beli baju raya tahun ini sebab masih dalam suasana Covid-19. Nabil pun sangat berhati-hati untuk sambutan kali ini," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 10:58 AM