Anak sulung Ayda dan Nabil.
Anak sulung Ayda dan Nabil.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir memilih nama Ana Nayla bagi cahaya mata sulung mereka yang selamat dilahirkan pada 21 September lalu.

Ayda berkata, pemilihan nama itu dibuat kerana mempunyai maksud yang cukup besar dalam hidup dirinya dan Nabil.

"Nayla membawa maksud sukses 'achiever, successful one' manakala nama Ana pula kami pilih berdasarkan nama ibu kami.

"Nama ibu saya Rohana manakala nama ibu Nabil pula adalah Diana. Jadi, kami mengambil nama akhir ratu hati kami dan diberikan kepada anak tercinta," katanya. 

Menurut Ayda, banyak pengalaman yang diraih apabila impian bergelar ibu tercapai. 

"Pengalaman menjadi ibu memang istimewa, saya takkan boleh beli di mana-mana. Saya dan Nabil sangat bersyukur dengan kehadiran permata hati kami. Sebagai ibu bapa baharu, kami sedang belajar bagaimana untuk menguruskan anak.

"Setiap hari ada saja pengalaman baharu dan kami gembira menempuhi proses terbabit.  Dalam pada itu, kami juga tidak mendapat tidur yang cukup, terutamanya Nabil kerana dia yang buat semua benda. Namun, perkara ini bukanlah satu hal yang besar asalkan kami ada dekat dengan Ana," katanya.

Dalam masa sama, Ayda turut memberitahu alasan dia membuka akaun Instagram untuk permata hatinya itu.

"Kami membuka akaun untuk Ana kerana mahu memudahkan kaum keluarga dan sabahat mengikuti perkembangan anak kami.

"Kami akan kongsikan perkembangan anak tercinta menerusi kemas kini di akaun Instagram itu kelak. Ia akan memudahkan keluarga, saudara mara, teman serta peminat melihat perjalanan anak kami," katanya.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat tali pertunangan secara dalam talian pada 28 April 2020, ketika negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 10:41 AM