Ayda bersama anak dan suami
Ayda bersama anak dan suami
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat memberitahu dia pada awalnya berat hati untuk membenarkan puteri tercintanya, Ana Nayla terbabit dalam sebarang fotografi kerana bimbang anaknya itu akan meragam.

Ayda bagaimanapun berkata, dia mula mempertimbangkan setiap tawaran selepas Nayla mula menerima beberapa tawaran menjadi duta.

"September depan Nayla bakal menginjak usia dua tahun. Mula-mula memang saya dan suami risau, takut Nayla penat mahu menjalani penggambaran atau sesi fotografi. Kita yang dewasa ini pun penat, apatah lagi kanak-kanak.

"Namun, saya fikirkan ini rezeki anak dan barangan yang mahu menjalin kolaborasi pun sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.

"Jadi, kami letakkan syarat jika mahu melakukan sesi penggambaran dan fotografi, mestilah ia dihabiskan secepat mungkin. Syukur, ketika sesi terbabit berlangsung, Nayla memberikan kerjasama yang baik dan dia suka dengan suasana di set penggambaran.

"Kami memberikan Nayla rehat secukupnya serta memainkan lagu kegemarannya ketika sesi terbabit," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman dia bersama suami Nabil Mahir dan Nayla sebagai duta jenama barangan bayi dan kanak-kanak dari Itali, Chicco, baru-baru ini.

Pada acara itu, Chicco turut melancarkan produk terbaharu mereka iaitu 'sterilizer', 'dryer', 'bottle warmer' dan 'MYSA stroller'.

Menurut Ayda, setiap tawaran rezeki yang diterima Nayla akan disimpan dalam akaun peribadi untuk kegunaan masa depan.

"Alhamdulillah Nayla sudah ada akaun bank sejak berusia enam bulan. Semua bayaran yang diterima Nayla disimpan dalam akaun miliknya.

"Selain itu, saya dan suami juga memperuntukkan bayaran yang kami terima dalam setiap kerja seni selain kerjasama dengan jenama yang kami lakukan.

"Kerjasama ini memang kami anggap rezeki Nayla. Semoga apa yang diterima Nayla boleh digunakan untuk pendidikan dan masa depannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 8:02 PM