Nabil Mahir
Nabil Mahir

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Nabil Mahir terpaksa menerima rawatan kecemasan di hospital apabila diserang alahan teruk selepas tersalah mengambil ubat, semalam.

Isterinya yang juga pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat berkata, pada mulanya, mereka ke hospital berkenaan membawa anak, Ana Nayla untuk pemeriksaan matanya yang tiba-tiba berair, tetapi Nabil pula yang teruk.

"Cepat sembuh sayang. Semalam, Nabil tersalah makan ubat. Rupanya, dia alah dengan ubat itu. Nak bawa Ana Nayla buat pemeriksaan mata yang tiba-tiba berair, akhirnya Dada (bapa) dia lagi teruk.

"Mata tak boleh buka dan sampai susah nak bernafas. Pergi kecemasan terus, nasib baik kami memang di hospital!" tulis Ayda di Instagram.

Ayda juga menasihatkan pengikutnya di Instagram supaya berhati-hati dengan alahan kerana ia sangat bahaya.

"Penting untuk tahu ubat atau makanan apa yang kita alah! Jangan buat main! Ada yang cadangkan supaya buat ujian alahan. Nanti kami cuba.

"Doakan dia cepat baik. Terima kasih semua. Kalau kalian dah tahu, kalian alah kepada apa, elakkanlah walaupun kawan kalian atau sesiapa cakap, 'ala, makan sikit saja, bukan mati pun'. Tolong faham alahan ini bahaya," tulisnya.

Di Instagram, Ayda juga turut memuat naik gambar dan video memaparkan keadaan Nabil yang mukanya bengkak dan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 11:18 AM