Nabil dan Ayda bernikah Jumaat ini.
Nabil dan Ayda bernikah Jumaat ini.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur; Pengacara Nabil Mahir berhasrat memiliki 13 cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat yang dijadual berlangsung Jumaat ini.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad Mahir berkata, angka terbabit adalah nombor kegemarannya selain ingin memiliki keluarga yang ramai.

"Kalau boleh nak timang 13 orang anak, sebab kami sukakan budak. Kalau dapat memang rezeki dan seolah-olah mimpi jadi kenyataan.

"Tapi sejujurnya, kalau dapat anak ramai macam mana pun, apa yang penting anak kami nanti sihat walafiat. Tak kisahlah satu, dua atau 13 orang pun," katanya ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbaharu Ayda berjudul Parah Parah di Publika, hari ini. 

Sementara itu, Ayda pula berkata, dia tidak menolak rezeki sekiranya mendapat zuriat dalam masa terdekat.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menimang cahaya mata cepat atau lambat. 

"Kalau sudah rezeki, saya bersedia untuk bergelar ibu. Saya pun bukan makin lama makin muda. Nabil pun macam itu," katanya. 

Menurut Ayda, majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Januari ini akan diadakan secara sederhana di sebuah masjid di ibu negara.

"Kami enggan mengambil sebarang risiko. Saya tak terkilan pun tiada majlis besar, malah lebih baik diadakan secara sederhana sahaja. 

"Apa yang penting adalah perkara wajib, majlis akad nikah kami dapat disempurnakan dengan baik. Kami hanya buat pernikahan di masjid yang hanya  dibhadiri kurang 50 tetamu," katanya.

Terdahulu pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 April lalu menerusi aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:20 PM