BELUM bersedia untuk aktif dengan aktiviti seni, mahu betul-betul bersedia.
BELUM bersedia untuk aktif dengan aktiviti seni, mahu betul-betul bersedia.
Sudirman Mohd Tahir

Sudah hampir dua bulan penyanyi dan pelakon Ayda Jebat menyambut kehadiran cahaya mata pertama, Ana Nayla.

Pastinya, pelbagai rasa bahagia dilalui Ayda bersama suami tercinta, Nabil Mahir.

Sama seperti pasangan lain, Ayda dan suami juga pastinya begitu teruja melalui kehidupan sebagai ibu bapa baharu. Tentu saja ia memberi pengalaman yang cukup istimewa dalam kehidupan mereka.

Sungguhpun bahagia menatap wajah zuriat kesayangan, Ayda mengakui melalui fasa mencabar mengelolakan anaknya, apatah lagi ketika melalui proses berpantang.

"Jujurnya memang saya gembira dapat tengok anak, dapat main dengan dia dan dapat memanjakannya. Ibu mana di dunia ini yang tidak bahagia apabila sudah ada penceria dalam keluarga kan?

"Tapi disebabkan semua perkara mengenai anak saya cuba usaha untuk uruskan, berat badan saya pun turun dengan mendadak. Mungkin sebab letih. Saya sendiri terkejut sebab saya tidak diet pun tapi berat turun.

"Tak sangka pula sebab apa yang saya lakukan hanyalah menjaga Ana, berpantang dan makan banyak. Mungkin juga sebab menyusu badan, sebab itu tahu-tahu berat terus turun sampai 45 kilogram," katanya.

Menurut Ayda, dia tidak kisah jika beratnya turun atau berasa penat, asalkan dia dapat sentiasa menghabiskan masa bersama dengan anaknya.

"Saya gembira habiskan masa dengan Ana, tak kisahlah penat sikit, asalkan kami dapat melihat anak setiap masa dan menguruskan keperluannya," katanya.

Dalam pada itu, Ayda turut bersyukur dan bertuah kerana Nabil banyak membantunya menjaga anak.

"Kalau nak tahu, Nabil banyak jaga Ana. Memang kalau boleh semua perkara mengenai anak Nabil akan cuba selesaikan. Kebanyakan masa pun Nabil yang jaga, dia suruh saya rehat. Tapi saya pula yang kurus," katanya.

Ditanya bila dia akan kembali aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian, Ayda menunggu waktu yang sesuai.

"Mungkin tunggu sikit masa lagi sehingga saya betul-betul bersedia. Jika tanya Nabil, dia okay saja. Tapi saya rasa tunggu sedikit masa lagi," katanya.

Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu selepas mengikat tali pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu, ketika negara masih lagu dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pasangan itu menerima kehadiran Ana Nayla pada 21 September lalu dan memperkenalkan cahaya mata mereka kepada umum secara rasmi seminggu kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:00 AM